6 remaja lelaki didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di kedai makan Bachok

Foto Harian Metro


Enam remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bachok semalam atas 15 pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan dua dalam kejadian yang berlaku di Tawang antara Ogos hingga September lalu. 


Kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. 


Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat, Bachok antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2.30 pagi pada pertengahan Ogos hingga September. 


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizaidah Abdul Salam. 


Mohd Hakimie sebelum itu tidak menawarkan jaminan, manakala Norizaidah pula memohon jaminan ditawarkan atas sebab kesemua tertuduh masih bersekolah dengan sebahagian keluarga pula adalah orang susah. 


Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember untuk sebutan semula kes. 


Sementara itu, dua lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tiga pertuduhan merogol mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama. 


Kedua-dua tertuduh berusia 18 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


Mahkamah kemudian membenarkan seorang daripada tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala seorang lagi tertuduh tidak dibenarkan jamin. 


Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk tarikh sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/10/6-remaja-lelaki-didakwa-merogol-remaja.html
Previous
Next Post »