Staff Pejabat Tanah minta & terima rasuah RM15,000, didakwa di mahkamah



Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM15,000, dua tahun lalu.


Ali Hashin Nasip, 54, yang bertugas sebagai pemandu kenderaan di sebuah agensi kerajaan negeri membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.


Dia didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada seorang individu pada 5 September 2020 di Pejabat Tanah Daerah Kudat sebagai dorongan mempercepat permohonan kelulusan lanjutan tempoh pajakan tanah milik individu terbabit.


Ali Hashin juga secara rasuah menerima suapan wang tunai bernilai RM5,000 bagi tujuan yang sama di sebuah restoran di sini pada 19 September tahun yang sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mempertuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Hakim Abu Bakar membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom dan Joe Randy Juster manakala Ali Hashin tidak diwakili peguam.


Sumber: Bernama



source https://www.thereporter.my/2022/10/staff-pejabat-tanah-minta-terima-rasuah.html
Previous
Next Post »