Bunuh bayi lelaki berusia tiga bulan, petani mengaku tidak bersalah



Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang di sini, awal bulan lepas. 


Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh anaknya, Muhammad Annas, di rumah berkenaan di antara jam 9 malam 4 Oktober 2022 hingga 1.30 tengah hari, 10 Oktober 2022. 


Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 


Muhammad Nasyran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 


Selain itu, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dan mengaku salah terhadap satu daripada pertuduhan iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib. 


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada kira-kira jam 7 malam, 10 Oktober lalu. 


Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember ini, sementara menunggu laporan patologi. 


Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Nasyran mengaku tidak bersalah mencederakan bekas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, di sini kira-kira jam 7 pagi, 5 Mei 2019. 


Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 November depan. 


Untuk pertuduhan terakhir, Majistret Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, kira-kira jam 5 petang, 4 Oktober 2022. 


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zuriyah Mohd Nordin basgi pertuduhan mencederakan isterinya. 


Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga lagi pertuduhan. 


Sumber: Bernama



source https://www.thereporter.my/2022/10/bunuh-bayi-lelaki-berusia-tiga-bulan.html
Previous
Next Post »