'PH tak bubar DUN 3 negeri kerana takut berdepan dengan BN' - Zahid Hamidi

Foto Head Topics


Presiden UMNO Zahid Hamidi menyifatkan keputusan Pakatan Harapan (PH) tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri yang dipimpin jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, sebagai penakut kerana tidak berani berdepan dengan Barisan Nasional (BN). 


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan PH berbuat demikian jelas membuktikan bahawa rakyat tidak lagi menyokong pakatan itu. Malah, berdasarkan pengalaman pada pilihan raya negeri Melaka, Johor dan Sarawak, pembangkang tidak diterima oleh pengundi mereka dahulu. 


"Semakin ramai pengundi mereka dahulu terasa terperdaya, kini kurang mahu mengundi PH. Yang jelas mereka yang kecewa mengundi PH dahulu tidak mahu mengundi PH termasuk bekas sekutu mereka, Bersatu," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi. 


Selain itu, Zahid mendakwa tindakan PH tidak mahu membubarkan DUN akan menyebabkan berlaku pembaziran kos dan membebankan perbelanjaan kerajaan. Sedangkan sebelum ini PH berkata pilihan raya negeri secara berasingan akan menelan perbelanjaan yang lebih besar. 


"Pembangkang asyik menyatakan kos pilihan raya sangat besar, sedangkan tindakan mereka tidak mahu bubar DUN merupakan pembaziran kos dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan. 


"Kali ini pembangkang gunakan isu musim tengkujuh pula untuk alasan elak pilihan raya. Alasan ini basi dan menyerlahkan lagi ketidakberanian pembangkang berdepan BN. 



"Pembangkang seolah-olah tidak yakin dan memperkecilkan pengalaman dan profesionalisme institusi awam termasuk agensi kesihatan, keselamatan dan agensi bencana.


"Kesemua alasan pembangkang adalah untuk menutup kehilangan sokongan rakyat yang sedang berlaku. Pengundi kini tidak lagi terpesona dengan cakap dan janji PH apabila pemimpin mereka berkempen ketika ini, tidak lagi seperti PRU 2018," katanya. 


Sumber: Facebook Zahid Hamidi



source https://www.thereporter.my/2022/10/ph-tak-bubar-dun-3-negeri-kerana-takut.html
Previous
Next Post »