2 isteri orang dicekup berkhalwat dengan 2 lelaki Bangladesh di Kulim

Foto Berita Harian


Dua wanita dicekup berkhalwat dengan dua lelaki warga Bangladesh dalam dua bilik berasingan di sebuah rumah tumpangan di Lunas, dalam serbuan yang dilakukan Pejabat Agama Daerah Kulim, semalam. 


Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, serbuan itu dilakukan dengan bantuan dari pihak polis selepas pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kegiatan dua pasangan terbabit. 


Pemeriksaan yang dilakukan pada jam 11.30 pagi di bilik pertama menemui seorang wanita berstatus isteri orang yang mempunyai empat anak, berdua-duaan dengan seorang lelaki Bangladesh. 


Wanita berusia 38 tahun itu yang menetap di Kulim berkata, dia memaklumkan kepada suaminya bahawa dia keluar untuk mengambil lesen kenderaan. 


Pemeriksaan di bilik kedua pada jam 12.45 tengah hari pula menemui seorang wanita berusia 26 tahun berkhalwat dengan lelaki Bangladesh berusia 35 tahun. 


Wanita terbabit juga sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, memberi alasan kepada suaminya untuk keluar mengambil lesen kenderaan bersama rakan.


Kedua-dua wanita terbabit bekerja di sebuah kilang plastik dan mengenali lelaki Bangladesh berkenaan melalui aplikasi WeChat. 


Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM30,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Lunas untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/10/2-isteri-orang-dicekup-berkhalwat.html
Previous
Next Post »