Anak menangis teresak-esak dihadapkan ke mahkamah kerana curi gelang emas ibunya bernilai RM9,000



Padah mencuri gelang emas, seorang wanita berusia 27 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. 


Tertuduh, Insyirah Afikah Norazri, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di depan Majistret Azureen Shahira Saufee Afandi. 


Mengikut pertuduhan, Insyirah Afikah didakwa mencuri seutas gelang emas bernilai RM9,000 milik ibunya, Nor Rihan Talib, 51, di kediamannya di daerah Melaka Tengah pada jam 8 malam, 12 Oktober lalu. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. 


Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan sugul ketika menunggu kesnya disebut dan sebaik berdiri selepas namanya dipanggil, dia tiba-tiba menangis dan sesekali menoleh ke arah ibu dan keluarganya di galeri awam. 


Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu berkeinginan untuk menarik semula laporan itu, tetapi masih belum membuat laporan polis. 


Beliau memohon kes itu disebut semula esok untuk pengadu mengemukakan laporan polis dan menawarkan jaminan RM500 kepada tertuduh dengan seorang penjamin. 


Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan esok untuk pengurusan kes itu. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/10/anak-menangis-teresak-esak-dihadapkan.html
Previous
Next Post »