Remaja hilang selepas kencing di kawasan semak pada jam 10 malam


Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun disyaki hilang selepas membuang air kecil di kawasan semak di Kampung Pasir Linggi, pada malam kelmarin. 


Difahamkan, mangsa, Muhammad Iznun Al Azim Mahadi, 13, pelajar SMK Laloh, Kuala Krai, keluar dari rumah pada jam 9 malam Isnin lalu berjumpa dengan dua rakannya berusia 15 dan 17 tahun untuk bermain sepak takraw jam 10 malam, sebelum masuk ke kawasan tersebut untuk melepaskan hajat.


Namun mangsa tidak keluar semula selepas 30 minit menyebabkan dua rakannya itu menyangka mangsa telah pulang ke rumah. 


Menyedari mangsa yang masih belum pulang pada jam 3 pagi, ibu mangsa mengambil keputusan untuk keluar mencari anaknya tetapi tidak berjaya menemui remaja berkenaan lalu membuat laporan kehilangannya. 


Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan dari ibu mangsa yang dibuat pada jam 7 malam semalam. 


Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan kerjasama pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang yang bermula pada jam 8 pagi tadi dengan kekuatan 32 anggota penyelamat. Turut serta dalam operasi itu, Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. 


Abang mangsa, cuba mengesan adiknya itu melalui nombor telefon bimbit dan dan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang pada jam 10 pagi keesokan harinya. Namun ketika sampai di tempat yang dikesan iaitu kawasan pokok besar berhampiran sungai, tiada sebarang tanda mangsa berada di situ sebelum pengesanan melalui telefon hilang jejak. 


Menurut ibu mangsa, anaknya itu merupakan anak manja yang tidak pernah keluar jauh dari rumah, apatah lagi membuat perangai tidak pulang ke rumah. 


Sumber: Harian Metro, Kosmo



source https://www.thereporter.my/2022/01/remaja-hilang-selepas-kencing-di.html
Previous
Next Post »