Curi tabung masjid untuk beli bekalan dadah, bukan ubat untuk datuk - Polis


Sebelum ini peguam kepada remaja yang didakwa cuba mencuri tabung masjid mengeluarkan kenyataan yang anak guamnya itu berbuat demikian kerana mahu mendapatkan duit bagi membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. 


Bagaimanapun, siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun itu sebenarnya melakukan jenayah tersebut kerana mahu membeli bekalan dadah. 


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, remaja itu sudah terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu. 


"Siasatan awal mendapati, remaja itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk membeli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu," katanya. 


Sementara itu, datuk kepada remaja berkenaan, Rosli Sidek, 65, turut mengakui cucunya, Daniel Iskandar Mohd Nasir, sememangnya bermasalah dan berharap apa yang berlaku akan memberi keinsafan kepadanya. 


"Saya mahu dia menjadi manusia lebih berguna dan insaf selepas dibebaskan dari penjara. Saya akui sedih dengan apa yang berlaku namun tetap menganggap ini adalah pengajaran terbaik untuk dirinya berubah. 


"Apabila terima hukuman sedemikian, saya harap dia menukar sikap dan tidak lagi melakukan jenayah. Pada usia muda seperti ini, penjara bukan tempat untuknya. Tetapi jika itu adalah pengajaran yang terbaik, saya reda," katanya yang turut mengakui tidak sanggup melihat cucunya meringkuk di penjara walaupun hanya 10 hari. 


"Jika dibebaskan kelak, saya nak dia masuk ke pusat tahfiz, institut kemahiran atau pusat pemulihan akhlak agar dia dapat menjadi insan yang lebih baik. Selepas selesai semua itu nanti, baru saya benarkan dia untuk bekerja dengan kemahiran yang dimilikinya," ujarnya lagi. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/01/curi-tabung-masjid-untuk-beli-bekalan.html
Previous
Next Post »