Hukuman penjara 10 hari & denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar ditarik balik, diganti dengan hukuman khidmat masyarakat 120 jam


Susulan kes mendapat perhatian banyak pihak, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar yang didakwa atas kesalahan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah, Kuang, Rawang, minggu lalu. 


Hakim Datuk Abd Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang kemudian memerintah Daniel menjalani hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan. 


Minggu lalu, video tular di media sosial menunjukkan Daniel dimandikan seperti jenazah selepas kantoi cuba mencuri tabung masjid sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 


Di media sosial, netizen meluahkan rasa geram dengan tindakan imam dan beberapa individu lain yang dianggap terlalu emosi sehingga gagal mengawal diri dan mengambil tindakan memukul remaja itu menggunakan hos paip getah. 


Maklumat awal menyatakan, Daniel bertindak mencuri tabung itu untuk mendapatkan duit bagi membeli ubat datuknya yang menghidap kencing manis. Tetapi alasan tersebut disangkal oleh ahli keluarganya sendiri dan menegaskan Daniel sememangnya mempunyai masalah akhlak serta perlu diberi pengajaran untuk dirinya insaf. 


"Saya mahu dia jadi manusia lebih berguna dan insaf selepas dibebaskan dari penjara. Saya akui sedih dengan apa yang berlaku, namun tetap anggap ini adalah pengajaran terbaik untuk dirinya berubah," kata datuknya, Rosli Sidek, 65. 


Polis juga mengesahkan remaja terbabit sebenarnya mencuri tabung masjid bagi mendapatkan bekalan dadah dan dia dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu. 


"Siasatan awal mendapati, remaja itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk membeli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu," kata Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/01/hukuman-penjara-10-hari-denda-rm4000.html
Previous
Next Post »