'Mengapa Noor Hisham belum digantikan?' - MP Bintulu gesa Ketua Pengarah Kesihatan ditukar kerana tidak layak tangani wabak Covid-19


Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing mengkritik cara Putrajaya mengendalikan wabak Covid-19 di Malaysia, malah mempersoalkan kredibiliti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, selain mendesak Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah digantikan. 


"Kita perlu bertanya sama ada Noor Hisham sebagai salah seorang ketua pembuat keputusan untuk tindak balas dalam menangani wabak ini, sememangnya orang yang terbaik untuk mengetuai benteng kebimbangan terhadap Omicron dan mengeluarkan rakyat kita daripada ancaman ini. 


"Hakikatnya kekal bahawa dia seorang pakar bedah, yang latar belakangnya bukan dari bidang kepakaran kesihatan awam. Mereka jelas tidak layak tetapi masih enggan mendapatkan nasihat daripada China yang mempunyai pengalaman besar dalam memerangi wabak ini. 


"Semua orang boleh lihat bahawa kadar kematian akibat Covid-19 di China adalah rendah, tetapi berapa ramai orang di Malaysia telah terkorban akibat penyakit ini? Adakah ini adil kepada mereka atau keluarga mereka? 


"Mengapa Malaysia tidak menggunakan lebih banyak strategi antiwabak dari China dan mengapa Noor Hisham belum diganti? Berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban akibat Covid-19 sebelum kita sedar tidak tidak boleh dibenarkan untuk terus berkhidmat dalam kapasiti ini?" katanya. 


Susulan kritikan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tampil mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam menangani wabak Covid-19. 


Melalui Twitter, Khairy menyatakan sokongan penuh terhadap Noor Hisham dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan. 


Khairy dalam kenyataannya berkata, dia tidak menafikan pendekatan yang diambil oleh China dalam mengawal wabak berkenaan berkesan, namun begitu Malaysia tidak dapat melaksanakan strategi yang digunakan negara tersebut. 


"Tidak dinafikan pendekatan China berkesan, namun strategi mereka iaitu 'containment' atau 'zero Covid-19' bermaksud 'total lockdown' bila hanya ada tiga kes positif. Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita 'mitigation'," katanya. 


Jelasnya, langkah yang diambil oleh kerajaan adalah dengan menguruskan kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi, menguatkuasakan SOP, menurunkan kadar penggunaan ICU dan kemasukan pesakit positif Covid-19 ke hospital. 


Sumber: MalaysiaKini, Free Malaysia Today



source https://www.thereporter.my/2022/01/mengapa-noor-hisham-belum-digantikan-mp.html
Previous
Next Post »