'Lepas ni kami saman terus' - JPJ beri amaran terakhir kepada penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat


Sembilan penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Rasah, Seremban diberi amaran terakhir agar tidak meneruskan penjualan buah mangga asam boi di bahu jalan yang boleh mengundang bahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya. 


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, amaran terakhir telah diberikan kepada penjaja jalanan berkenaan dan mencari lokasi lain yang lebih selamat, selepas pihaknya menerima aduan dari pengguna jalan raya berhubung kegiatan tersebut. 


"Untuk hari ini, JPJ bersama polis dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memberi nasihat dan amaran kepada penjaja berkenaan dan kami belum mengambil apa-apa tindakan undang-undang. 


"Aktiviti jual beli di bahu jalan sedikit sebanyak mengganggu kelancaran trafik selain kehadiran mereka menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna jalan raya, malah ini boleh membahayakan nyawa mereka sendiri," katanya. 


Jelas Hanif lagi, pihaknya bukan mahu menyekat rezeki penjaja buah mangga berkenaan tetapi merasakan mereka patut mencari lokasi lain yang lebih sesuai dan selamat. 


JPJ telah mengenalpasti 10 lokasi di Seremban yang seringkali menjadi tumpuan penjaja jalanan untuk melakukan aktiviti tersebut dan siasatan awal mendapati sebilangan besar mereka bukan berasal dari Negeri Sembilan. 


Jika mengikut Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959, aktiviti menjaja di jalanan merupakan satu kesalahan dan tiada sesiapa yang boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya. 


Sekiranya aktiviti tersebut masih lagi berlaku, Hanif menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penjaja yang ingkar dan mengenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/01/lepas-ni-kami-saman-terus-jpj-beri.html
Previous
Next Post »