'Orang Utan akan bunuh manusia dulu' - Ucapan Zuraida dikritik netizen sebab tak masuk akal


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, dikritik netizen di media sosial gara-gara mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai Orang Utan. 


Dalam ucapan yang dibuat pada 5 Januari lalu, Zuraida berkata, Orang Utan berkemungkinan akan membunuh manusia berbanding sebaliknya.


Ucapannya pada waktu itu adalah berkaitan dengan industri minyak sawit di Malaysia dan dia menafikan bahawa industri itu mengancam populasi Orang Utan di negara ini. 


Menurut Zuraida, dia baru-baru ini berkunjung ke Mekah dan dimaklumkan oleh Duta Malaysia di sana bahawa buku sekolah di negara-negara Arab memberi penerangan yang tidak menarik terhadap industri minyak sawit. 


"Dia (Duta Malaysia di Arab) memberitahu saya bahawa di sekolah-sekolah di negara Arab yang pelajarnya pergi, buku-buku menceritakan hal buruk tentang minyak sawit kita kerana kita membunuh Orang Utan. 


"Saya beritahu dia, di Malaysia kalau awak nampak Orang Utan, Orang Utan akan bunuh awak dulu, bukan awak bunuh Orang Utan dulu, kan?" katanya. 


Zuraida turut menegaskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mempunyai prosedurnya sendiri dalam mengendalikan haiwan berkenaan. 


"Perhilitan ada polisinya. Adakah anda fikir mereka hanya bunuh Orang Utan? Singa dan harimau pun, bila mereka nampak, mereka tidak bunuh. Mereka mempunyai beberapa jenis prosedur untuk memfasakannya dan kemudian membawa mereka ke zoo atau apa sahaja," katanya. 


Ucapan menteri berkenaan bukan sahaja menarik perhatian netizen, malah turut menarik perhatian bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang secara sinis menyindir ucapan Zuraida di Twitter.



"Banyak benda boleh belajar dari menteri-menteri yang bijak pandai. Satu, di Malaysia kalau Orang Utan jumpa manusia, Orang Utan bunuh manusia dulu. Dua, di Malaysia ada Singa. Selamba aaah cikgu aku dulu tipu kat sekolah, tak ajar benda-benda ni," ciapannya di Twitter.



Sumber: MalaysiaKini, Twitter Rafizi



source https://www.thereporter.my/2022/01/orang-utan-akan-bunuh-manusia-dulu.html
Previous
Next Post »