48 Honda Civic Ketam terlibat, polis panggil Ketua & admin Facebook FC Club Malaysia (FCCM) beri keterangan


Susulan tular gambar dan video konvoi geng ketam atau Honda Civic FC yang dirakam dengan sengaja menyalahgunakan lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai, Nilai pada Sabtu lalu, pemilik kenderaan terbabit akan dipanggil ke balai untuk memberi keterangan. 


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya telah mengenal pasti 48 buah kenderaan ketam yang terlibat dan sebagai permulaan, ketua kelab bersama admin Facebook kelab berkenaan akan dipanggil. 


"Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain. 


"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53 (1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletakkan atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan," katanya. 


Bagi kesalahan itu, individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. 


Jelas Mohd Fazley lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras tindakan lanjut, selain mengemukakan cadangan menyediakan tempat khusus di kawasan tersebut untuk orang ramai bergambar dan menjaja. 


Sementara itu di media sosial, netizen mendedahkan lokasi tersebut sudah menjadi tumpuan banyak kelab-kelab kereta berkumpul dan bergambar terutamanya di hujung minggu.



source https://www.thereporter.my/2022/01/48-honda-civic-ketam-terlibat-polis.html
Previous
Next Post »