Awal Januari tahun ini, Unifi berhenti menawarkan kotak TV Unifi TV kepada pelanggan mereka. Pihak TM menyarankan pelanggan supaya menggunakan aplikasi PlayTV jika ingin terus menstrim kandungan mereka pada peranti pintar. Hari ini rekaan kotak TV baharu Unifi Plus Box telah tertiris ke arena web menurut laporan LowYat.Net.
Rekaan kotak TV ini mirip sebuah Apple TV lengkap dengan alat kawalan jauh yang jura mirip alat kawalan Apple TV generasi terdahulu. Kedua-duanya berwarna hitam dengan jenama Unifi tertera pada bahagian atas. Risalah pengiklanan yang turut tertiris mengesahkan penggunaan sistem operasi Android TV dengan aplikasi seperti Dimsum, iFlix, BBC Player dan YuppTV terbina.
Kerana ia menggunakan Android TV, sokongan Chromecast dan Google Assistant terbina turut ditawarkan. Seperti Astro Ultra Box yang baru sahaja dilancarkan, Unifi Plus Box menyokong paparan 4K. Perbezaan di sini ialah Unifi TV Plus Box turut menyokong kandungan HDR yang masih belum disokong Ultra Box.
Terdapat banyak Android Box dijual secara haram di Malaysia sejak kebelakangan ini. Dengan Unifi Plus Box, pengguna akhirnya boleh membeli sebuah Android Box yang tidak menyalahi undang-undang. Yang dinantikan pada waktu ini hanyalah pengesahan dari pihak TM sendiri mengenai bilakah kotak TV ini akan dilancarkan secara rasmi.