Saiz iPhone telah meningkat mendadak dari 3.5″ pada tahun 2006 dan kini 6.5″ sejak iPhone XS Max tahun lalu. Pada asalnya saiz skrin yang kecil ini dikekalkan oleh Apple bagi membolehkan kesemua permukaan skrin diakses dengan sebelah tangan. Selepas kematian Steve Jobs barulah Apple berani menawarkan saiz skrin besar yang diminta oleh pengguna. Tahun hadapan saiz skrin mungkin akan meningkat pula ke 6.7″.
Menurut laporan ETNews, iPhone 12 kelak akan ditawarkan dalam saiz 6,7″ dan 5.4″. Bagi menggunakan skrin yang lebih besar, peranti ini akan mempunyai bezel yang lebih nipis. Saiz tubuh dipercayai akan masih lagi sama seperti iPhone XS Max dan 11 Pro Max. Sebuah lagi model akan ditawarkan dengan skrin sebesar 5.4″ yang lebih kecil berbanding 5.8″ pada iPhone 11Pro. Model ketiga dengan skrin 6.1″ juga akan ditawarkan dengan skrin OLED.
Dengan tiga model ini, Apple dapat memenuhi keperluan pengguna yang inginkan peranti bersaiz lebih besar dan kecil seperti iPhone SE. Selain saiz skrin berbeza, iPhone 12 kelak turut dipercayai akan dilengkapi memori sebesar 6GB RAM bagi menyelesaikan masalah kesukaran melakukan multi-tugas sejak pengenalan iOS 13 tahun ini.