Xiaomi Mi Note 10 mungkin akan dijual dengan harga RM1,940 di Malaysia

Siri Xiaomi Mi Note 10 adalah antara peranti yang dinanti-nantikan oleh peminat Xiaomi di Malaysia. Sebelum ini Xiaomi Malaysia telah mengumumkan bahawa siri Xiaomi Mi Note 10 akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada 3 Disember ini.

Siri kali ini akan hadir dengan dua pilihan variasi iaitu Mi Note 10 dan Mi Note 10 Pro yang mempunyai spesifikasi yang hampir sama dan cip pemproses Snapdragon 730G yang sama. Cuma pilihan memori RAM dan storan yang sedikit berlainan. Mi Note 10 hadir dengan 6GB RAM dan 128GB storan. Manakala Mi Note 10 Pro hadir dengan 8GB RAM dan 256GB storan.

Kini menerusi perkongsian dari Mobile Wonderland, harga jualan rasmi siri Xiaomi Note 10 di Malaysia telahpun tertiris. Buat Mi Note 10, ia mungkin dijual dengan harga RM1,940. Manakala Mi Note 10 Pro, ia mungkin dijual dengan harga RM2,290.

Jika benar, harga yang ditawarkan agak tinggi buat cip pemproses kelas pertengahan jika ingin dibandingkan dengan model Xiaomi yang lain. Namun sudah semestinya tarikan utama pada siri kali ini adalah pada keupayaan penta-kamera, spesifikasi lain dan bahan binaan yang premium. Malah menerusi skor dari DxOMark, ia setanding dengan Huawei Mate 30 Pro.

Sebelum ini juga Xiaomi terkenal dengan tawaran diskaun. Saya menjangkakan Xiaomi akan tawarkan dengan harga sedikit murah pada hari pelancaran. Apa pun, sama-sama kita nantikan.

Persoalannya, adakah anda akan membelinya?



from TheSkop https://ift.tt/2rxZjp8
via IFTTT
Previous
Next Post »