(Video) 'Seronoknya muka penyamun berbelanja sakan beli iPhone' - Pesara rugi RM46,000, kad bank dicuri ketika berurusan di mesin ATM



Seorang pesara berusia 62 tahun terpaksa berputih mata apabila mendapati wang simpanannya berjumlah RM46,000 telah dibelanjakan oleh individu tidak bertanggungjawab.


Pesara, Baharuddin Abdullah menyedari perkara itu selepas gagal mengeluarkan wang simpanannya sebelum dimaklumkan oleh pihak bank bahawa berlaku beberapa pengeluaran berjumlah RM46,000 dalam tempoh tiga hari. 


Menurut laporan polis yang dibuat, Baharuddin pada jam 10 pagi Sabtu, 25 Mac lalu telah pergi ke Bank Rakyat Banting untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM. Ketika itu, kad ATM miliknya telah tersangkut di dalam mesin. 


"Terdapat seorang lelaki Melayu yang cuba membantu saya untuk mengeluarkan kad tersebut. Selepas berjaya, lelaki itu telah menyerahkan semula kad ATM kepada saya. Saya cuba keluarkan wang di bank lain tetapi tidak berjaya. 




"Selasa, 28 Mac, saya telah pergi ke BSN Banting untuk menyemak masalah kad ATM dan pihak bank memaklumkan berlaku beberapa transaksi pengeluaran dari Sabtu hingga Isnin. Sebanyak RM46,000 telah dikeluarkan menggunakan kad ATM saya," katanya. 


Baharuddin mengesyaki, lelaki yang membantunya pada Sabtu lalu telah mengambil kesempatan dengan menukar kad ATMnya dengan kad lain. 


Mangsa turut dimaklumkan oleh anak lelakinya, Muhammad Faiz, suspek telah menggunakan wang tersebut itu untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 13 Pro Max bernilai RM3,700 di Klang. 



Gambar dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut tersebar. Dalam video yang diperolehi jelas menunjukkan suspek sedang membeli iPhone tersebut sambil ditemani oleh isteri dan anaknya masih berusia bayi. 


Netizen tidak menolak kemungkinan suspek telah menyasarkan warga emas dan kemudian sengaja merosakkan bahagian pengimbas kad ATM pada mesin sebelum berpura-pura menghulurkan bantuan. Dalam masa sama, suspek akan memerhati dari dekat nombor pin yang ditekan oleh mangsa.


Sumber: Twitter Paiz Muhd



source https://www.thereporter.my/2023/03/video-seronoknya-muka-penyamun.html
Previous
Next Post »