'Kesimpulan Sami Hamdi tentang peraturan baru di Makkah semasa bulan puasa, bawa naratif buruk umat Islam'



Baru-baru ini tular di dalam aplikasi Whatsapp mengenai peraturan baru bulan Ramadan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi. 


Antara kandungan peraturan baru yang tular itu adalah tidak dibenarkan pembesar suara, tidak dibenarkan siaran langsung Tarawih, tidak dibenarkan iktikaf tanpa pengenalan diri, solat Tarawih mesti dipendekan dan bermacam-macam lagi peraturan yang diperkatakan.




Penularan berita itu sudah pastinya mengejutkan semua pihak terutamanya Umat Islam. Namun begitu, seorang lelaki yang juga merupakan seorang penterjemah menafikan berita penularan itu dan menghuraikan kembali di sebalik terjemahan peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.


“Telah tersebar dalam pelbagai media sosial tentang kononnya peraturan baru bulan Ramadan di Arab Saudi. Terutamanya versi Bahasa Melayu telah tersebar dalam group-group WhatsApp.


“Kita boleh nampak betapa misleadingnya kesimpulan Sami Hamdi dan betapa ia telah membawa satu naratif yang buruk kepada umat Islam.




“Di sini saya lampirkan terjemahan bagi peraturan baru yang dikeluarkan itu terutamanya buat para imam dan bilal,” tulisnya.


1. Memberikan komitmen penuh ketika bertugas. Tidak boleh untuk tidak hadir menjalankan tugas dalam bulan Ramadan al-Mubarak, melainkan kerana sangat terdesak dan mempunyai alasan yang boleh diterima setelah melantik seorang pengganti dalam tempoh ketidakhadiran. Pelantikan sementara ini perlulah disahkan oleh pihak cawangan kementerian di wilayah masing-masing, dan pengganti tersebut hendaklah berjanji tidak akan mengabaikan tanggungjawab. Tempoh ketidakhadiran tidak boleh melebihi kadar yang ditetapkan.


2. Mengikuti takwim Umm al-Qura dalam mengumandangkan azan, terutamanya azan Isyak, ia mestilah dikumandangkan pada waktu yang ditetapkan. Iqamat pula harus dikumandangkan selepas azan setelah tempoh waktu yang dimuktamadkan bagi setiap solat.


3. Mengambil kira hal ehwal org ramai ketika solat Terawih. Solat tahajud [terutamanya] pada 10 malam terakhir Ramadan mestilah selesai sebelum waktu Subuh dengan tempoh yang cukup supaya tidak menyusahkan para jemaah untuk bersahur.


4. Beriltizam dengan petunjuk Nabi dalam doa qunut ketika solat terawih serta tidak memanjang-manjangkannya. Berpada dengan doa-doa yang sahih daripada Nabi. Elakkan daripada bersajak ketika berdoa dan mengada-ada membaca doa secara tartil dan tarannum.


5. Pentingnya membaca beberapa kitab yang berfaedah buat para jemaah masjid, berdasarkan bahan bacaan yang diluluskan oleh pihak kementerian.


6. Mematuhi peraturan berkenaan dengan kawalan pemasangan kamera dalam masjid. Tidak menggunakannya untuk mengambil gambar imam dan makmum sewaktu solat didirikan dan tidak menyiarkannya dalam apa-apa bentuk media sekalipun.


7. Imam bertanggungjawab untuk memberikan kebenaran beriktikaf dan memastikan para jemaah tidak melanggar peraturan, tahu tentang maklumat para jemaah yang beriktikaf dan meminta bukti kelulusan dari penaja yang diluluskan (yang menaja aktiviti iktikaf) bagi bukan warga Saudi.


8. Tidak mengutip derma untuk aktiviti berbuka puasa dan aktiviti yang lain.


9. Aktiviti berbuka (jika ada) hendaklah dilakukan di kawasan yang ditetapkan di pekarangan masjid. Aktiviti ini adalah di bawah tanggungjawab imam dan bilal. Mereka yang bertanggungjawab dalam aktiviti berbuka ini hendaklah membersihkan tempat tersebut dengan segera setelah berbuka. Tidak boleh untuk membina bilik sementara atau mendirikan khemah atau yang seumpamanya untuk menjalankan aktiviti berbuka di dalamnya.


10. Imam dan bilal haruslah mengingatkan para jemaah agar tidak membawa anak-anak kecil kerana ini akan mengganggu para jemaah dan menghilangkan kekhusyukan mereka. Selesai terjemahan.




Beliau juga menegaskan tidak ada perkataan atau istilah yang menyebut peraturan baru seperti yang ditularkan.


“Tengoklah, tak ada pun istilah yang berkait dengan "no loudspeakers", "pemendekan solat terawih", "tidak boleh berbuka di Masjid al-Haram" dan sebagainya.


“Tak ada pon naratif kononnya dunia nak kiamat dari peraturan baru ni. Malah peraturan baru ini dikuatkuasakan khusus untuk para imam dan bilal yang bertugas demi menjaga kemaslahatan para jemaah.


“Kesian depa, depa bagi keluaq peraturan nak jaga jemaah, sekali depa kena hentam. Moga-moga  Allah ganjari kesabaran mereka dan membalas pihak yang mengeluarkan naratif buruk ni.


“Umat Islam pon, belajar la bahasa Arab. Supaya boleh akses sumber primer. Ni kering-kering  je kene bodohkan dengan si Sami tu,” tulisnya.


Sumber: Abdullah Izzat



source https://www.thereporter.my/2023/03/kesimpulan-sami-hamdi-tentang-peraturan.html
Previous
Next Post »