Lelaki tua cemburu, tembak ex-girlfriend di kepala selepas mangsa enggan kembali ke pangkuannya



Gagal mengawal perasaan cemburu, seorang lelaki Thailand nekad menembak kepala bekas teman wanitanya selepas mangsa enggan kembali ke pangkuannya, dalam kejadian di wilayah Nakhon Pathom. 


Balai Polis Kamphaeng Saen menerima panggilan orang awam pada jam 10 pagi yang memaklumkan mengenai kejadian itu di mana mangsa, Anuthida, 27, telah ditembak di kepala, lengan dan kaki oleh suspek menggunakan pistol. 


Polis bergegas ke lokasi dan menemui kesan tompokan darah di bilik dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kamphaeng Saen oleh ahli keluarganya. 


Menurut saudara mangsa, Pawanrat, 23 berkata, suspek yang dikenali sebagai Somphrong, 52, datang ke rumah pada awal pagi tanpa diundang. 


Anuthida dan Somphrong kemudian bertengkar kerana mangsa enggan menerima pujukan suspek yang mahukan dia kembali ke pangkuannya. Mangsa meminta suspek keluar dari rumahnya, tetapi lelaki itu enggan berbuat demikian. 


"Apabila Anuthida masuk ke bilik tidur untuk menjauhinya, Somphrongg mengikutinya dan ketika itulah saya terdengar beberapa bunyi das tembakan dilepaskan. Saya terus berlari ke bilik itu dan mendapati Anuthida terbaring berlumuran darah di lantai dan sedang berusaha untuk bernafas," katanya. 


Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, manakala suspek pula melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki trak. 


Setakat yang dilaporkan, suspek masih belum ditangkap dan belum ada maklumat terkini mengenai keadaan mangsa.


Siasatan awal polis mendapati, mangsa menjalinkan hubungan dengan teman lelaki baharunya selepas berpisah dengan suspek tiga bulan lalu. Hal itu menyebabkan suspek cemburu dan bertindak melepaskan tembakan. 


Sumber: Thaiger



source https://www.thereporter.my/2023/03/lelaki-tua-cemburu-tembak-ex-girlfriend.html
Previous
Next Post »