'Saya reda, saya hanya pelakon atau boleh dikatakan sebagai pekerja buruh' - Adi Putra sahkan dirinya tiada dalam filem Mat Kilau 2



Pelakon Adi Putra, 42, mengesahkan dia tidak akan muncul dalam filem Mat Kilau 2 selepas menerima satu kenyataan daripada pihak penerbit filem, Kembara Studio. 


"Saya dapat pengesahan menerusi kenyataan yang dikeluarkan daripada penerbit, jadi pengesahan saya akur dengan pengesahan yang dibuat. Saya terima dengan qada dan qadar. Saya juga tidak mempersoalkan mengenai perkara tersebut. Saya reda," katanya memetik laporan dari portal Gempak, Selasa, 21 Mac 2023. 


Bagi Adi, dia tiada kuasa untuk menentukan barisan pelakon yang akan membintangi filem itu dan enggan memberi komen lanjut mengenai perkara tersebut kerana sedar dirinya hanya sebagai pelakon sahaja. 


"Penerbit ada kuasa untuk menerbitkan dan ketentuan untuk pemilihan. Saya hanya seorang pelakon atau boleh dikatakan sebagai pekerja buruh. 


"Pelakon ini dalam kategori freelance, tidak ada mutlak kerana kami tidak menerbitkan sesuatu," katanya. 


Tahun lalu, konflik di antara Adi dengan pihak Kembara Studio tercetus apabila Adi meluahkan rasa kesalnya terhadap pihak berkenaan menerusi hantaran di Instagram. Bagaimanapun, konflik itu telah diselesaikan dengan cara baik dan Adi enggan memanjangkan masalah tersebut. 


Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan yang dibintangi para pelakon terkenal seperti Adi, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Johan As'ari telah mencatatkan rekod kutipan bersih sebanyak RM97 juta, dengan bajet pembikinan filem itu yang hanya menelan peruntukkan sebanyak RM8 juta. 


Sumber: Gempak



source https://www.thereporter.my/2023/03/saya-reda-saya-hanya-pelakon-atau-boleh.html
Previous
Next Post »