Remaja maut dirempuh kereta, terbabas ketika tunda motosikal member

Foto ihsan netizen


Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dirempuh kereta di Kilometer 365, Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Bukit Besi, semalam. 


Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.30 pagi dan mangsa, Muhammad Rasul Mustaqim Azlee Alivin, 17, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Dungun. 


Siasatan awal mendapati, mangsa bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Timun, Negeri Sembilan, sambil menunda motosikal rakannya. 


"Mangsa ketika itu di sebelah kanan jalan sambil menunda motosikal rakannya sebelum motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas. Ekoran itu, mangsa terjatuh dan dilanggar kereta," katanya. 


Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah hari. 


Pemandu kereta berusia 30 tahun itu tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke bilik forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/03/remaja-maut-dirempuh-kereta-terbabas.html
Previous
Next Post »