Malaysia dijangka alami banjir kilat bermula 14 Mac hingga pertengahan Mei

Foto The Star


Malaysia dijangka berdepan dengan fasa peralihan monsun bermula hari ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan. Dalam tempoh itu, Malaysia dijangka akan berdepan dengan masalah banjir kilat di beberapa tempat. 


Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi ABdullah berkata, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, sekali gus membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat. 


Kejadian itu katanya akan berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat, pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan tengah Sarawak. 


Keadaan cuaca seperti itu berpotensi menyebabkan banjir kilat yang membawa kepada kerosakan struktur yang tidak kukuh. 


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dalam tempoh itu dan sentiasa peka dengan ramalan/amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web rasmi www.met.gov.my, atau aplikasi mobil myCuaca. 


Sementara itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) juga mengeluarkan peringatan kepada orang ramai terutamanya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai untuk sentiasa peka, berwaspada dan bersiap sedia untuk menghadapi fasa peralihan monsun. 


Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, fasa peralihan monsun boleh meningkatkan kejadian banjir kilat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada.


Sebagai persiapan, JPS sentiasa melaksanakan kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala agar semuanya berfungsi dengan baik, termasuk ban dan tebing sungai yang dipantau rapi bagi memastikan tindakan serta-merta dijalankan apabila berlakunya kejadian ban pecah atau tebing runtuh. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/03/malaysia-dijangka-alami-banjir-kilat.html
Previous
Next Post »