Budak 4 tahun dipercayai dibunuh pengasuh & mayatnya dibuang ke dalam Sungai Sarawak

Foto I Love Borneo


9 Mac lalu, seorang wanita meminta bantuan orang ramai mencari anak lelakinya yang dilaporkan hilang sejak jam 7.42 malam Isnin, 7 Mac. 


Dynasty Chang Ka Hui, 25, berkata anak lelakinya, Eric Chang Wie Jie, 4, hilang ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya. 


Kali terakhir dilihat, Eric berambut pendek, kulit kuning langsat, kurus, pakaian terakhir sebelum hilang ialah baju-T berwarna biru gelap dan seluar pendek paras lutut berwarna hitam.


Dynasty yang sedang sarat mengandung cuba mencari anaknya di sekitar Bintawa Village, tetapi gagal menemui anak lelakinya itu.


"Saya berharap bagi sesiapa yang melihat kelibat anak saya, segera menghubungi saya atau suami di talian 011-27818688 atau 011-17818573 supaya kami dapat bertemu semula dengan Eric," katanya. 


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan pihaknya telah menahan empat suspek berusia antara 24 hingga 49 tahun termasuk pengasuh mangsa di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dan pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak. 


Semakan rekod juga mendapatkan empat suspek terbabit mempunyai 17 rekod jenayah, 14 daripadanya berkaitan dengan kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersil. Keputusan ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu. 


Polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk mencari mangsa termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM. 


13 Mac, polis mengklasifikasikan semula kes itu kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berikutan penahanan dua suspek utama iaitu pengasuh mangsa. 


Polis percaya suspek telah dibunuh dan mayatnya telah dibuang ke Sungai Sarawak di Muara Tebas. 


Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu yang dikhuatiri akan mengganggu siasatan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/03/budak-4-tahun-dipercayai-dibunuh.html
Previous
Next Post »