Mekanik berusia 26 tahun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana edar dadah kanabis 615.5 gram

Foto Utusan Online


Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik atas dua kesalahan mengedar dadah kanabis seberat 615.5 gram, lima tahun lalu. 


Izzat Asnawie Noor Azami, 26, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 


"Keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata dan bila difikirkan semula, keterangannya juga tidak konsisten apabila menyatakan tiada barang salah dan kedudukan dadah jauh daripada dia. 


"Mahkamah membuat penemuan dan mendapati tertuduh duduk di ruang tamu bersama 10 ketulan mampat dadah ganja dan alat pemotong plastik," katanya. 


Mengikut pertuduhan pertama, Izzat Asnawie didakwa mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah di No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada jam 8.30 malam, 1 Jun 2017. 


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 


Dalam prosiding sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) iaitu memiliki sejumlah 283 gram kanabis di tempat, masa dan tarikh sama.


Manakala dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2), iaitu memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama, tertuduh dijatuhkan masing-masing penjara tiga tahun. 


Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serenak daripada tarikh tertuduh ditahan pada 1 Jun 2017. 


Pendakwaan kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad, manakala tertuduh diwakili peguam R Subash. 


Sepanjang perbicaraan bermula 17 Jun 2019, seramai lapan saksi pendakwaan telah memberi keterangan, manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/03/mekanik-berusia-26-tahun-dijatuhkan.html
Previous
Next Post »