Anak mengamuk tikam ibu, ayah & adik sampai mati, 7 jirannya turut cedera dilibas dengan sabit



Empat maut, manakala tujuh yang lain cedera akibat ditikam oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Riyanto, 35, dalam kejadian amuk di Desa Pojok, Jawa Timur, Indonesia. 


Menurut seorang saksi, Aris Setiawan berkata, empat mangsa yang meninggal dunia termasuk ibu, bapa dan adik kepada suspek sendiri. Tujuh mangsa yang cedera adalah jiran tetangga keluarga itu. 


Jelasnya lagi, sebelum kejadian itu berlaku suspek sempat berbalah dengan ibunya kira-kira jam 2 petang mengenai kerja dan idak beberapa lama selepas itu suspek bertindak menikam keluarganya. 


Suspek yang sebelum ini bekerja sebagai buruh pembinaan dipercayai berbuat demikian kerana tertekan kerana sudah seminggu dibuang kerja. 


"Sejak dibuang kerja sejak seminggu lalu, dia menjadi pendiam. Padahal dia sangat khusyuk dan rajin beribadah," katanya.


Jiran tetangga yang mengetahui kejadian itu segera datang menghulurkan bantuan. Malangnya mereka juga menjadi mangsa suspek yang menyerang mereka menggunakan sabit. 


Ketika polis bergegas ke tempat kejadian, Riyanto berusaha melarikan diri ke kawasan kebun dan enggan menyerah diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran. Namun tembakan itu tidak menakutkannya. Riyanto terus melarikan diri sehingga ke rumah orang tuanya. Polis kemudian masuk ke rumah dan menemui Riyanto sedang mengerjakan solat Zohor di bilik belakang. 


Ketika mahu ditangkap, Riyanto masih berusaha melawan dan akhirnya berjaya ditahan polis serta terus segera dibawa ke balai kerana bimbang dibelasah penduduk. 


Polis masih belum dapat mengambil keterangan suspek yang enggan memberikan kerjasama. Polis percaya suspek mengalami kemurungan akibat dibuang kerja. Keadaannya menjadi lebih teruk apabila ibu bapanya memaksa dia mencari kerja lain secepat mungkin. 


Sumber: Kumparan News



source https://www.thereporter.my/2022/03/anak-mengamuk-tikam-ibu-ayah-adik.html
Previous
Next Post »