'Nak berniaga ikutlah undang-undang' - Peniaga berlesen bengang penjaja buah berniaga tanpa lesen di persimpangan lampu isyarat

Foto Motoqar


Aktiviti menjual jeruk buah atau yang sewaktu dengannya di persimpangan lampu isyarat dilihat masih lagi aktif walaupun telah diberi amaran berulang kali oleh pihak berkuasa. 


Kedegilan penjaja buah ini mengundang rasa kurang senang peniaga makanan berlesen di Teluk Intan kerana aktiviti itu secara tidak langsung telah menjejaskan perniagaan mereka. 


Peniaga makanan, Ahmad Sawal Abu Bakar berkata, tidak dinafikan usaha penjaja itu mencari rezeki patut dicontohi tetapi caranya tidak kena kerana ia membahayakan diri dan pengguna jalan raya. Lebih teruk lagi, penjaja-penjaja itu tidak mempunyai lesen. 


"Perbuatan mereka salah dari segi undang-undang perbandaran. Saya harap pihak berkenaan dapat memantau kegiatan mereka ini yang membahayakan. Kehadiran mereka ini juga menjejaskan pendapatan kami sebagai peniaga berlesen," katanya. 


Ahmad Sawal juga hairan mengapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sedangkan kegiatan itu berlaku berdekatan dengan bangunan agensi kerajaan. 


"Kalau nak berniaga, kenalah ikut undang-undang. Tidak boleh sewenang-wenangnya berniaga di tempat yang tidak sepatutnya. Kita faham penjaja ini terdiri daripada mereka yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan semasa Covid-19. Ini antara usaha mereka untuk bangkit, tetapi perniagaan kami turut terjejas. 


"Kami berniaga bertahun-tahun di gerai Taman Ros dikenakan lesen perniagaan. Tapi mereka orang luar berniaga tanpa lesen di tempat yang tidak sepatutnya," katanya. 


Sumber: Utusan Malaysia



source https://www.thereporter.my/2022/03/nak-berniaga-ikutlah-undang-undang.html
Previous
Next Post »