Viral video lelaki penggal kepala isterinya yang didakwa curang


Tehran: Viral di media sosial video yang menunjukkan seorang lelaki sedang memegang kepala isterinya di jalan raya selepas dia mendapati isterinya berlaku curang, menggemparkan masyarakat di negara itu. 


Polis percaya mangsa, Mona Heidari, 17, dibunuh oleh suami dan abang iparnya di bandar Ahvaz, Iran, lapor agensi berita ISNA. 


Bagaimanapun, kedua-dua suspek terbabit telahpun ditahan pada Isnin lalu setelah polis menyerbu tempat persembunyian mereka. 


Kes itu mendorong Naib Presiden Hal Ehwal Wanita, Ensieh Khazali, menggesa Parlimen dan pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk mebendung kes seperti itu. Akhbar Iran dan media sosial dibanjiri dengan kemarahan terhadap pembunuhan itu, sekali gus menuntut pembaharuan sosial dan undang-undang. 


"Seorang manusia telah dipenggal kepalanya, kepalanya kemudian dipamerkan di jalanan oleh pembunuhnya yang bangga dengan perbuatannya. Bagaimana kita boleh menerima tragedi seperti itu? Kita mesti bertindak agar pembunuhan seperti ini tidak akan berlaku lagi," lapor akhbar reformis Sazandegi. 


Pengarah filem feminis terkenal, Tahmineh Milani melalui Instagramnya berkata, "Mona ada mangsa kejahilan, kita semua bertanggungjawab di atas jenayah ini". 


Susulan dari kes itu, pelbagai pihak tampil menggesa kerajaan memperbaharui undang-undang untuk melindungi wanita dari keganasan rumah tangga dan meningkatkan umur yang sesuai untuk berkahwin berbanding kini yang menetapkan umur 13 tahun dibenarkan untuk berkahwin. 


Difahamkan, Mona Heidari berkahwin dengan suspek ketika dia berusia 12 tahun. Hasil dari perhubungan selama lima tahun itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia tiga tahun. 


Beberapa laman web yang menyiarkan video viral itu secara terbuka telah menyebabkan gangguan psikologi kepada masyarakat. Hal itu memaksa pihak berkuasa menutup laman web tersebut. 


Pada Mei 2020, seorang lelaki bertindak memenggal kepala anak perempuannya berusia 14 tahun yang mencetuskan kemarahan orang ramai. Akibat daripada perbuatannya itu, dia dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun. 


Sumber: Arab News



source https://www.thereporter.my/2022/02/viral-video-lelaki-penggal-kepala.html
Previous
Next Post »