'Kes semakin meningkat tapi tak perlu laksanakan PKP, cuma rancakkan program pemberian booster' - Pakar


Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak 11,034 kes berbanding semalam, 10,089 kes. Jumlah terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia mencecah 2,925,254 kes yang dikatakan berpunca dari gelombang varian Omicron. 


Peningkatan mendadak ini mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat akan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan, kerajaan tidak akan melaksanakan PKP secara keseluruhan. 


Mengulas mengenai perkara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan semula PKP walaupun jumlah kes sedang melonjak tinggi. Ini kerana negara sudah bersedia menghadapinya berikutan kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi. 


"Bagi saya, tidak perlu kerana peratusan pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 hanya satu peratus daripada keseluruhan kes. Ini membuktikan program vaksinasi kita berjaya, menyebabkan kadar kemasukan ke hospital juga makin berkurangan. 


"Keberkesanan vaksin juga dapat dilihat apabila kadar pemulihan pesakit Covid-19 makin cepat, iaitu kini hanya tiga hingga lima hari saja berbanding sebelum ini 14 hingga 21 hari," katanya. 


Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh pula berpendapat bahawa kerajaan perlu merancakkan semula program suntikan dos penggalak bagi memastikan lebih ramai rakyat dilindungi terutamanya pada waktu ini Malaysia sedang berdepan dengan gelombang varian Omicron. 


Walaupun kesan Omicron tidak seteruk Delta, ia dikhuariti mampu meningkatkan kapasiti kemasukan pesakit ke hospital dan berisiko maut. KKM katanya perlu mempelbagaikan kempen dan program agar orang awam sedar akan kepentingan dos penggalak ini diketahui. 


Dos penggalak diperlukan untuk meningkatkan semula antibodi seseorang itu selepas beberapa bulan disuntik dos premier. Ia juga penting kerana pelbagai varian baharu dikesan di mana ada di antaranya mudah merebak. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/02/kes-semakin-meningkat-tapi-tak-perlu.html
Previous
Next Post »