Dua beradik maut makan sisa makanan dikutip dalam tong sampah


Dua kanak-kanak warga Myanmar maut selepas makan sisa makanan yang dipungut dalam tong sampah dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut, semalam. 


Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Ngei Jamaludin, 2, dan abangnya, Nizambudin, 4, meninggal dunia pada jam 5.40 petang. 


Menurut keterangan bapa mangsa, dua anaknya berada berhampiran tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang lalu sebelum dibawa masuk ke rumah jiran berhampiran. Beberapa minit kemudian, mangsa didapati tidak bernafas dan penduduk kampung terus menghubungi pihak polis. 


"Siasatan awal mendapati, kanak-kanak itu dipercayai makan sisa makanan diperoleh dari tong sampah di kawasan mereka ditemui. 


"Pengesahan kematian mereka dibuat oleh petugas perubatan dan kedua-duanya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk ujian saringan Covid-19 dna proses bedah siasat," katanya. 


Difahamkan,  bapa mangsa bekerja mengambil upah kerja kampung dan membaiki kelengkapan bot. Mereka tidak mempunyai kediaman tetap dan hanya menumpang di rumah jiran. 


Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/02/dua-beradik-maut-makan-sisa-makanan.html
Previous
Next Post »