(Video) 'Cikgu suruh saya hentak kepala di dinding 100 kali' - Pelajar lapor polis, tak puas hati dihukum oleh gurunya hanya kerana tak pulangkan buku yang dipinjam


Video dua pelajar sekolah menengah di Kabupaten Kupang, Nusa Tenggara Timur, Indonesia viral di media sosial. Pelajar terbabit, Imanuel Frama, 15, dan Yufardi Sayuna, 14, dihukum oleh guru Pendidikan Jasmani dengan hukuman menghentak kepala pada dinding kelas sebanyak 100 kali.


Menurut sepupu Imanuel, Dolu Yason Lau menjelaskan kedua-dua mangsa dihukum kerana tidak memulangkan semula buku dipinjam seperti yang diarahkan oleh guru berkenaan sebelum ini. 


Pada hari Isnin dan Selasa (7-8 Februari 2022), Imanuel disuruh menghentak kepalanya di meja sebanyak lima kali, sebagai pengajaran kepada pelajar lain. Pada Khamis, 10 Februari 2022, Imanuel sekali lagi dikenakan hukuman sama tetapi kali ini disuruh datang ke depan kelas dan menghentak kepala ke dinding sebanyak 100 kali. Pada kiraan yang ke 89 kali, Imanuel diarahkan mengulangi semula hukuman itu dari satu. 


"Pada kiraan yang ke 89, mangsa disuruh mengulangi hukuman itu kerana guru itu bertanya kepada para pelajar sama ada mereka mendengar bunyi hentakan kepala di dinding atau tidak. Disebabkan mereka menjawab 'tidak', maka mangsa diarahkan mengulangi hukuman itu dari awal sampai 100 kali," kata Dolu Yason Lau pada Rabu, 16 Februari 2022. 


Setelah insiden yang memalukan itu, Imanuel disuruh membersihkan tandas sekolah. Kemudian dia dan Yufardi dihukum menghentak kepala ke dinding, di suruh melutut dan mencubit telinga masing-masing dengan kuat sehingga menyebabkan telinga kirinya luka. 


Hukuman itu disaksikan oleh 34 pelajar dan salah seorang pelajar membuat rakaman video tanpa pengetahuan guru sebelum dimuat naik di media sosial yang akhirnya viral meluas sehingga mengundang kemarahan golongan ibu bapa. 


Setelah menerima hukuman dari guru berkenaan, Imanuel mengaku dahinya mengalami luka dan berasa pening ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. 


"Kami telah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kupang. Kami masih menunggu tindakan selanjutnya dan berharap guru terbabit akan dikenakan tindakan di atas perbuatannya," kata Dolu Yason Lau. 



Enggan memperbesarkan hal itu, guru berkenaan bersama pengetua sekolah, guru-guru, ketua kampung datang ke rumah mangsa untuk membuat permohonan maaf. 


"Kami sudah mengadakan pertemuan dengan keluarga pelajar dan memohon maaf di atas apa yang terjadi. Namun keluarga mangsa tetap berkeras dan mahu kejadian itu diselesaikan mengikut undang-undang," kata Thobias Fanggi, pengetua sekolah. 


Bagaimanapun, keluarga mangsa enggan bertemu dengan mereka dan menolak permohonan maaf itu dan nekad meneruskan laporan polis kerana tidakan perlu diambil terhadap guru tersebut yang disifatkan melampau dalam mengambil tindakan terhadap pelajar. 


Guru Pendidikan Jasmani, Cornel berkata, hukuman yang diberi itu adalah sebagai pengajaran kepada Imanuel dan Yufardi. Cornel menjelaskan, hasil perbincangan antara pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar, pelajar dipinjamkan buku untuk digunakan ketika sesi pembelajaran online di sekolah. 


"Jika buku itu rosak dan hilang, maka pelajar dan ibu bapanya wajib menggantikannya. Tetapi, Imanuel dan Yufardi bukan sahaja tidak mengumpul buku yang dipinjam, malah menghilangkannya. Sedangkan buku itu merupakan aset sekolah dan akan digunakan oleh pelajar lain. 


"Maka saya selaku wakil pihak sekolah menawarkan dua hukuman iaitu menghentak kepala ke dinding atau meja. Dan hukuman ini tidak dinyatakan dalam perbincangan pihak sekolah dengan ibu bapa pelajar," katanya. 


Cornel juga menafikan dua pelajar terbabit dihukum menghentak kepala di dinding sebanyak 100 kali. Sebaliknya hanya 10 kali dan hukuman itu telah dipersetujui oleh dia dan pelajar terbabit. 


"Hukuman tidak diulang (dua kali) dan sangat tidak berperikemanusiaan kalau hukuman itu dilakukan sehingga 100 kali. Saya juga ada anak dan paling koman pun puluhan kali sahaja," ujarnya.


Sumber: Merdeka



source https://www.thereporter.my/2022/02/video-cikgu-suruh-saya-hentak-kepala-di.html
Previous
Next Post »