Ketua Menteri Sarawak kini digelar 'Premier', tetapi DAP kata GPS syok sendiri


Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada Premier telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam. RUU tersebut disokong oleh 67 ADUN dan enam lagi ADUN tidak menyokong. 


Jawatan Ketua Menteri Sarawak kini digantikan nama baharu iaitu Premier Sarawak. 


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pindaah tersebut mengembalikan semangat asal kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu apabila Sarawak bersetuju mengambil bahagian dalam pembentukan negara baharu, Malaysia, statusnya menjadi sebagai satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) harus dikekalkan. 


Ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan statusnya dianggap tidak sama dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu. 


Pindaan itu juga dibuat kerana, dalam beberapa tahun selepas pembentukan Malaysia, kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi semakin menyusut dan dianggap sama taraf dengan negeri lain di Tanah Melayu. 


"Kita tentunya tidak mahu setaraf dengan negeri lain seperti Pulau Pinang dan Melaka kerana ketika Sarawak dan Sabah bersama membentuk Malaysia, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan tidak bersekutu diwakili oleh Persekutuan Tanah Melayu.


"Oleh itu, untuk memberi gambaran jelas status Sarawak berbeza dengan negeri lain adalah dicadangkan supaya nama jawatan Ketua Menteri digantikan kepada Premier.


"Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang menganggap penubuhan serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, Ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan disebut sebagai 'Premier' manakala negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri," katanya.


Terdahulu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP Padungan) membantah dan menyifatkan pindaan tersebut sebagai syok sendiri. Bagi Chong, tiada keperluan untuk menukar gelaran itu hanya untuk menunjukkan perbezaan status pemimpin Sarawak berbanding negeri lain. 


"Itu hanya syok sendiri sebab Abang Johari (Ketua Menteri) keluar dari Sarawak, dia tetap dianggap sebagai Ketua Menteri sama juga seperti Ketua Menteri negeri lain dan kami beranggapan pindaan perlembagaan ini tidak memberi apa-apa manfaat," katanya. 


Selain itu, Chong turut membangkitkan pertukaran terma tersebut yang dijangka akan menimbul kekeliruan terutamanya penggunaan istilah yang sesuai dalam Bahasa Melayu. 


Bagaimanapun Abdul Karim berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu tampil memberi perkataan yang tepat dan bersesuaian dengan gelaran baharu tersebut. Tetapi beliau percaya, istilah Premier sudah cukup baik digunakan dalam Bahasa Melayu mahupun Inggeris untuk jawatan tersebut. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/02/ketua-menteri-sarawak-kini-digelar.html
Previous
Next Post »