'Saya nak saman taska ini!' - Ibu kesal anaknya berusia 2 tahun ditinggalkan dalam taska gelap hanya kerana dia terlewat menjemputnya


FLORIDA - Seorang ibu terkejut apabila menemui anak perempuan berusia dua tahun bersendirian dan dikurung dalam bilik gelap di taska selepas dia terlambat beberapa minit untuk menjemput anaknya.


Stephanie Martinez nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap Plantation KinderCare kerana meninggalkan anak perempunanya, Anastasia, bersendirian di dalam bilik gelap, berdiri di atas kerusi dan menangis. 


Pada hari kejadian, Martinez terpaksa menghubungi talian kecemasan 911 untuk meminta bantuan dan dia dapat bertemu semula dengan anaknya selepas bomba datang membuka pintu taska. 


"Dia menangis, dia bersendirian di dalam bilik itu," kata Martinez ketika memberitahu operator talian 911 dalam video yang dirakamnya sendiri sebaik saja mendapati Anastasia bersendirian di dalam bilik tersebut. 


Pembantu pengarah pusat jagaan, Nichole Burrillo memberitahu polis bahawa dia dan Lucilena Vaggiano (guru) adalah kakitangan terakhir yang berada di taska dan bertanggungjawab menutup pintu. 


Burrillo berkata, Vaggiano menggunakan tablet untuk memeriksa semua kanak-kanak sebelum menutup taska pada jam 6 petang. Namun kebiasaannya ada kakitangan yang masih berada di situ kerana ada ibu bapa yang selalu lewat menjemput anak mereka pulang. 


Burrillo dan Vaggiano keluar dari premis itu kira-kira jam 6.20 petang. Martinez tiba di taska pada jam 6.28 petang dan tidak menerima panggilan dari pihak taska yang memaklumkan Anastasia masih berada di situ. 


Kedua-dua kakitangan terbabit kini diarahkan bercuti buat sementara waktu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. KinderCare juga mengesahkan kejadian tersebut kepada media tempatan. 



"Ini adalah pengalaman paling buruk. Rasa tak berdaya dan tak dapat buat apa-apa untuk menenangkan dia. Anastasia pasti tertekan dan menangis sepanjang masa dia berada di sana seorang diri. 


"Tiada sesiapa yang patut melalui kejadian ini. Kita bayar dan berikan kepercayaan tetapi mereka musnahkan begitu saja. Saya tak tahu nak kata apa dan saya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anak saya," katanya. 


Martinez nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat penjagaan itu agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang kepada kanak-kanak lain. 


Sumber: Daily Mail



source https://www.thereporter.my/2022/02/saya-nak-saman-taska-ini-ibu-kesal.html
Previous
Next Post »