(Video) Penagih dadah pukul & tendang bapa tiri sebab tak bagi duit beli bekalan dadah


Berang tak diberikan wang selepas diminta membuatkan seorang lelaki ini tergamak menendang dan memukul bapa tirinya di bahagian muka dan dada. 


Difahamkan, perbuatan penganggur berusia 30 tahun itu tular di media sosial dalam kejadian yang berlaku di kediaman keluarganya di Kampung Ruat, jam 8.30 pagi semalam. 


Mangsa berusia 71 tahun itu dipukul dan ditendang sebanyak dua kali di bahagian dada dan muka, sambil disaksikan oleh isterinya yang kemudian meminta bantuan orang kampung untuk menghubungi pihak polis. 



Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. Siasatan awal mendapati, suspek adalah seorang penagih dadah tegar dan kerap memukul mangsa jika tidak diberikan duit kepadanya untuk membeli bekalan dadah. 


"Mangsa mengalami sakit di dada dan muka, kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya. Kejadian itu berlaku di perkarangan rumah pasangan warga emas terbabit," katanya. 


Bertindak di atas laporan tersebut, suspek telah ditahan pada jam 6.45 petang di Lubuk Boidi untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati, suspek adalah seorang pesakit mental dan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan oleh ibunya. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/02/video-penagih-dadah-pukul-tendang-bapa.html
Previous
Next Post »