Penganjur Fun Fair Puncak Alam beroperasi tanpa lesen, berdepan dengan denda RM25,000 atau penjara 3 tahun



Gara-gara kecuaian pihak penganjur aktiviti hiburan pesta ria atau Fun Fair di Puncak Alam, dalam memastikan keselamatan permainannya, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan selepas tercampak keluar dari permainan yang dikenali sebagai Sotong Ride. 


Siasatan awal Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mendapati, penganjur pesta ria itu beroperasi tanpa mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 


Menurut Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya ada menerima permohonan lesen hiburan dari penganjur, namun permohonan yang dibuat tidak lengkap. 


"Penganjur sepatutnya mengemukakan permohonan lesen dalam tempoh 45 hari kepada Jabatan Perlesenan MPKS bagi mendapatkan ulasan daripada jabatan teknikal lain seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja serta pihak polis. 


"Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada ulasan dan sokongan diterima dan mereka beroperasi tanpa kebenaran," katanya. 


Difahamkan, kawasan tapak pesta ria itu masih dimiliki oleh pemaju (belum diserahkan lagi kepada MPKS) yang memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan pesta ria.


Susulan kemalangan itu, kes disiasat di bawah Peruntukan 6 (1) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat hiburan 1995. Jika sabit kesalahan, penganjur boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun dan pesta ria tersebut turut diarahkan tutup serta-merta. 


Sumber: Sinar Harian



source https://www.thereporter.my/2022/12/penganjur-fun-fair-puncak-alam.html
Previous
Next Post »