'Beliau belum dihukum lagi' - Anwar pertahan pelantikan Zahid sebagai TPM



Susulan banyak pihak yang mempertikaikan pelantikan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dalam Kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan keputusan itu. 


Anwar menegaskan, beliau tidak boleh menolak kepentingan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkannya walaupun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang berdepan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. 


Netizen, aktivis anti-rasuah dan ahli-ahli politik pembangkang mengkritik pelantikan itu Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. 


"Itu hak mereka. Beliau telah didakwa dan belum dihukum lagi. Ia adalah proses (undang-undang) yang perlu kita hormati. 


"Beliau adalah presiden UMNO dan juga pengerusi BN. Dalam keadaan seperti ini, saya perlu mengambil kira faktor itu," katanya. 


Sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, Zahid memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN terhadap Pakatan Harapan (PH), walaupun keputusan itu dibantah beberapa pemimpin UMNO yang berpegang kepada prinsip enggan bekerjasama dengan Anwar mahupun DAP. 


Terdahulu, penganalisis politik, NGO dan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin menggesa Anwar Ibrahim tidak melantik pemimpin kluster mahkamah menyertai Kabinet kerana tindakan itu boleh menjejaskan persepsi orang ramai terhadap Kerajaan Perpaduan. 


Sumber: Free Malaysia Today



source https://www.thereporter.my/2022/12/beliau-belum-dihukum-lagi-anwar.html
Previous
Next Post »