'Saya diterkam, diputar-putar & fikir memang saya akan mati' - Tangan lelaki terputus digigit buaya



Seorang lelaki terputus tangan kanannya akibat digigit buaya selepas dia membasuh tangan di kolam air yang keruh.


Difahamkan, mangsa berusia 49 tahun yang dikenali sebagai Ilham, terdahulu diupah sebagai pemandu untuk membawa sebuah keluarga mengunjungi Zoo Singka di Singkawan, Indonesia. 


Dalam perjalanan itu, Ilham terpaksa memberhentikan kenderaan selepas salah satu tayarnya pancit. Setelah selesai menukar tayar, Ilham mencari sumber air untuk mencuci kesan-kesan kotoran di tangannya.




Ilham kemudian ternampak sebuah kolam berhampiran lalu memanjat pagar setinggi satu meter dan membasuh tangannya di kolam tersebut. Secara tiba-tiba muncul seekor buaya besar menyerang dan membaham tangan kanannya sehingga terputus. 




Mangsa segera melarikan diri dari haiwan tersebut untuk menyelamatkan diri dari ditarik ke dasar kolam dan digigit sehingga mati. 


Ilham dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Gambar terkini menunjukkan dia berada dalam keadaan stabil dan mampu tersenyum meskipun kejadian itu menyebabkan tangan kanannya terputus. 




"Saya ingatkan kolam itu terbengkalai kerana kelihatan banyak sampah di sekitar kolam. 


"Di dalam kolam, saya diputar-putar oleh buaya itu. Masa itu saya dah fikir memang saya tidak akan selamat. Namun, ketika ada kesempatan untuk melarikan diri, saya cepat-cepat naik ke atas dan lari jauh dari kolam. Tapi sayang, tangan kanan saya sudah tiada lagi. 


"Kolam itu tidak terlalu dalam, kalau dalam sudah tentu saya tak selamat. Yang peliknya, semasa buaya itu menerkam, air kolam langsung tidak bergerak," katanya. 


Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan. Ini kerana saksi mendakwa, tiada sebarang tanda amaran yang diletakkan berhampiran kolam tersebut atau pagar yang menunjukkan kolam itu dihuni oleh seekor buaya besar. 


Sumber: Daily Star



source https://www.thereporter.my/2022/06/saya-diterkam-diputar-putar-fikir.html
Previous
Next Post »