Imam didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak & remaja

Foto Harian Metro


Seorang bapa berusia 60 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka atas empat pertuduhan termasuk melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan, bulan lalu. 


Bagaimanapun, tertuduh yang juga Imam III sebuah surau di Limbongan membuat pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin. 


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia empat tahun di surau berkenaan pada 28 Mei lalu. 


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa berusia 13 tahun di stor surau sama pada hari yang sama.


Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSKK) 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. 


Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa berusia 13 tahun di tempat dan waktu sama dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) AKKSKK 2017. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. 


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin dan tertuduh pula diwakili peguam Muhammad Mustapa. 


Intan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan. Tetapi Muhammad merayu kadar berkenaan dikurangkan kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 dan menghidap penyakit gout. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan dan dikenakan syarat tidak boleh mengganggu mangsa. 


Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di Balai Polis Melaka Tengah pada 2 Jun lalu. 


Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sini. 


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari menawarkan jaminan RM7,000, tetapi mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000 selepas dirayu oleh peguam tertuduh atas alasan sama. 


Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Julai depan untuk sebutan dokumen. 



source https://www.thereporter.my/2022/06/imam-didakwa-lakukan-amang-seksual.html
Previous
Next Post »