Ingkar 3 notis hentikan pembinaan yang mengganggu jiran, MBS sita & akan ambil tindakan terhadap pemilik rumah berbentuk kuil

Foto Harian Metro


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali mengatakan pihaknya telah mengeluarkan tiga notis arahan dan sitaan terhadap pemilik bangunan di Taman Surian, Mantin, yang didapati melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan untuk menghentikan dan merobohkan binaan tambahan itu. 


Susulan insiden tersebut tular di media sosial, Jabatan Undang-undang dan Penguatkuasaan MBS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik rumah yang berdegil mematuhi notis yang dikeluarkan. 


"MBS memandang serius atas kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan ini. Sebarang kerja ubahsuai bangunan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada MBS terlebih dahulu, lebih-lebih lagi dalam menjaga aspek keselamatan dan mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum. 


"Segala tindakan yang diambil bertujuan mensejahterakan keharmonian warga bandar raya," katanya. 


MBS hari ini turun padang dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bangunan tersebut yang melakukan pengubahsuaian berlebihan sehingga menyerupai rumah ibadat tanpa kelulusan pihaknya. 


Perbuatan pemilik rumah itu juga telah menyebabkan jiran yang lain terpaksa berhadapan dengan bunyi bising yang berlaku sejak 2019 ekoran kerja-kerja pengubahsuaian yang berterusan sehingga ke hari ini. 


Jirannya, Abdul Halim Hassan @ Talib, 38, berkata, rumahnya mengalami keretakan dan kebocoran disebabkan pembinaan itu, selain menjejaskan keselamatan dan ketenteraman ahli keluarganya. 


"beberapa dinding di tingkat atas dan bawah retak dipercayai akibat kerja ubahsuai rumah jiran. Malah ada kawasan yang  bocor dapat dilihat pada siling dan dinding," katanya. 


Keadaan menjadi semakin buruk apabila cermin hadapan kereta Abdul Halim dipecahkan selepas dia merakam video kediaman jirannya untuk dijadikan sebagai bukti dalam laporan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, polis telah memanggil kedua-dua belah pihak untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 


Siasatan awal mendapati, seorang lelaku melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta Abdul Halim kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka. Polis turut meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/06/ingkar-3-notis-hentikan-pembinaan-yang.html
Previous
Next Post »