1 Julai, subsidi minyak masak botol dimansuhkan untuk stabilkan harga barangan



Bermula 1 Julai, kerajaan akan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) bagi memastikan bekalan bahan makanan di pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa panjang dan seterusnya menstabilkan harga barangan. 


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram bagaimanapun akan tetap diteruskan. 


Jelasnya, subsidi bagi minyak masak tulen untuk botol sebenarnya hanyalah bersifat sementara sahaja di mana ketika pelaksanaan program subsidi itu pada tahun 2021 hanya dibuat bagi tempoh tiga bulan iaitu Ogos, September dan Oktober. 


Namun kerajaan ketika itu berpendapat program subsidi itu perlu dilanjutkan dan kini merasakan sudah tiba masanya program subsidi itu dimansuhkan agar dapat memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan. 


Nanta berkata, kerajaan boleh memberi bantuan yang lebih bersasar tetapi segala bentuk bantuan itu akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan terlebih dahulu. 


Sementara itu peniaga pula menyuarakan kebimbangan mereka yang akan dipersalahkan oleh pengguna susulan dari tindakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak dalam botol, serta pemansuhan harga siling ayam dan telur ayam. Ini kerana, sudah pasti akan berlaku kenaikan harga terutamanya ayam mentah.


"Bila harga naik, mereka akan salahkan peniaga sedangkan kita pun terima bekalan daripada pembekal. Bila kita tanya pembekal, pembekal akan kata dari penternak. Akhir sekali yang menjadi mangsa adalah kami. 


"Kami juga tersepit di antara penguatkuasaan dan pengguna. Jika tiada keuntungan, buat apa kami berniaga?" kata peniaga Pasar Borong Selangor, Mohd Rafiq Hamdan. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/06/1-julai-subsidi-minyak-masak-botol.html
Previous
Next Post »