Tak hormat senior, pelajar junior dibelasah 10 suspek sehingga cedera tulang rusuk, pinggang



10 pelajar sebuah kolej vokasional di Kuala Lumpur ditahan kerana terbabit dalam kejadian rusuhan Sabtu lalu yang menyebabkan seorang pelajar mengalami kecederaan. 


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ibu mangsa terdahulu memaklumkan kepada warden asrama mengenai anaknya yang tidak sihat sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. 


"Mangsa memaklumkan, dia dipukul beramai-ramai oleh pelajar senior semasa berada di surau asrama. 


"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang serta sakit di keseluruhan badan akibat dipukul,"katanya. 


Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh di mana pelakunya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Suspek berusia 16 hingga 20 tahun yang direman sejak dua hari lalu bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam selepas selesai diambil keterangan. 


Polis kini dalam proses menyiapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut. 


Siasatan mendapati, mangsa dibelasah hanya kerana perselisihan faham di mana mangsa didakwa tidak menghormati pelajar senior terbabit. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/08/tak-hormat-senior-pelajar-junior.html
Previous
Next Post »