Kelantan tuntut peruntukan tambahan RM4 bilion untuk selesaikan masalah air, jalan



Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, Kelantan akan menuntut peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion dari kerajaan Persekutuan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober nanti. 


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, peruntukan tambahan itu diperlukan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri bagi menyediakan kemudahan asas kepada penduduknya. 


Sebelum ini, Kelantan telah menerima peruntukan sebanyak RM3 bilion semenjak PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. 


"Jumlah keseluruhan yang diperlukan oleh Kelantan adalah RM7 bilion. Jadi kita perlukan peruntukan sebanyak RM4 bilion lagi. 


"Paling utama ialah untuk menyelesaikan masalah bekalan air, selain daripada menaik taraf kemudahan jalan raya, kemudahan asas, sekolah, bantuan orang miskin dan lain-lain," katanya, lapor Sinar Harian. 


Jelasnya, Kelantan yang sering disebut sebagai serambi Mekah itu masih ketinggalan dari segi pembangunan fizikal sejak berpuluh tahun lalu. 


Kerajaan Kelantan kini berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi peruntukan tambahan itu bagi membangunkan negerinya seiring dengan negeri-negeri lain. 


"Jadi Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan terutama dari sudut infrastruktur dan pembangunan. Senarai peruntukkan yang diperlukan untuk pembangunan negeri ini sudah diangkat kepada Kerajaan Persekutuan. 


"Alhamdulillah selepas kerajaan Perikatan Nasional naik peruntukan sudah mula turun. Jadi kita harap boleh ditambah lagi untuk akan datang," ujarnya. 



source https://www.thereporter.my/2022/08/kelantan-tuntut-peruntukan-tambahan-rm4.html
Previous
Next Post »