Pelarian Rohingya tak minat kerja di ladang, MEF gesa kerajaan benarkan mereka kerja di sektor formal



Minggu lalu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mencadangkan kerajaan memanfaatkan sumber manusia sedia ada dengan menyerap ratusan ribu pelarian etnik Rohingya di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), berbanding membawa masuk pekerja asing baru dari luar negara. 


Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata, pelarian Rohingya tidak berminat bekerja di sektor itu meskipun pelbagai inisiatif (program perintis) sudah dilaksanakan termasuk menyediakan tempat tinggal percuma, kadar bayaran yang rendah bagi penggunaan bil elektrik dan air. 


Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pelarian Rohingya bekerja di sektor formal. 


"Majikan bersedia memberi latihan semasa bekerja (OJT) sekiranya pelarian dibenarkan untuk diambil bekerja. 


"Pada umumnya, tiada sebarang yuran dikenakan kerana pekerja akan bekerja di samping diberi bimbingan untuk meningkatkan kemahiran mereka. 


"Pada masa ini, majikan lebih berminat memberi OJT kerana ia lebih efisien dan masa bekerja tidak hilang. Konsep latihan di bilik darjah dilihat tidak sesuai untuk mereka yang sudah dewasa," katanya. 


Sebagai contoh, ada negara yang menyumbangkan dana berjumlah RM200 juta untuk membiayai latihan pelarian Rohingya sebelum mereka diambil bekerja. 


MEF juga mencadangkan agar kerajaan Malaysia mengambil langkah yang sama dengan membenarkan pelarian bekerja dan memberi OJT kepada mereka yang dilihat lebih bermanfaat dari segi kos dan impaknya, berbanding latihan konvensional yang menelan belanja tinggi serta tidak dapat memenuhi keperluan syarikat. 


"Apa yang penting adalah keputusan kerajaan mengenai pengambilan pelarian yang berada di Malaysia untuk bekerja. Terdapat kira-kira 184,000 pelarian di negara ini dan jika 60 peratus diambil bekerja, sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kekurangan pekerja ketika ini," katanya. 


Jumaat lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebarang cadangan atau saranan mengenai perkara itu perlulah menunggu kajian dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas faktor keselamatan kerana ia membabitkan keselamatan negara. 


"Saya faham kita terdesak (perlukan pekerja asing), tetapi kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan.


"Akta mengatakan pelarian ini masuk ke Malaysia dalam masa beberapa tahun mereka perlu dihantar ke negara ketiga. Tetapi setakat ini saya tak lihat mana-mana negara ketiga yang sanggup menerima," katanya. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/08/pelarian-rohingya-tak-minat-kerja-di.html
Previous
Next Post »