Curi motor majikan sebab berang gaji lebih RM5,000 tak dibayar, tukang buat rumah dipenjara 12 bulan



Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang tukang rumah warga Pakistan mencuri motosikal majikannya kerana berang gajinya tidak dibayar, semalam. 


Tertuduh, Umar Farook, 22, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan itu dalam sebelum Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 16 Julai lalu. 


Mengikut pertuduhan, Umar dengan niat mencuri motosikal jenis Honda FS 150 bernilai RM8,000 milik Mohd Zamri Sahari, 34, pada jam 5.30 petang 30 Mei lalu di tapak projek Jalan Bukit Duyong.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda jika disabitkan bersalah. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sherina Farhana Nor Sa'ari yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh. 


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia menanggung ibunya yang sudah berusia di Pakistan dengan mengirimkan wang setiap bulan hasil bekerja kontrak membuat rumah. 


Mengikut fakta kes, Mohd Zamri pada hari kejadian mendapati motosikal miliknya hilang semasa berada di Jalan Bukit Duyong sebelum dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa ia digunakan oleh tertuduh semasa ketiadaannya. 


Tertuduh kemudian ditahan semasa menunggang motoiskal itu di sekatan jalan raya di Karak pada 16 Julai selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan. 


Pemeriksaan kemudian mendapati, motosikal itu dilaporkan hilang berkait laporan polis di Balai Polis Kandang. Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku mencuri motosikal itu kerana berang gajinya melebihi RM5,000 tidak dibayar. 


Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2022/08/curi-motor-majikan-sebab-berang-gaji.html
Previous
Next Post »