'Rambut anak digunting ketika tidur, pakaian diconteng & digunting' - Ibu dakwa anaknya menjadi mangsa khianat di MRSM Kuantan



Tular di media sosial, seorang wanita mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa khianatdi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan sejak Jun 2022 sehingga ke hari ini masih belum menemui jalan penyelesaian. 


Nazrah Mohamed mendakwa, kes yang menimpa anaknya menjadi semakin serius di mana beberapa pelajar lain turut menjadi mangsa perbuatan khianat dan gangsterism di pusat pendidikan itu. 


Menurut kronologi kes yang disertakan, pakaian seragam sekolah milik anaknya telah diconteng dan digunting oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab. Mangsa membuat aduan dan cuba mencari pelakunya, tetapi gagal. 


Nazrah yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian menghubungi Ketua Warden untuk bertanya mengenai kes itu. Tetapi Ketua Warden berkata dia tidak mengetahui perkara itu dan setelah disemak, pelajar senior mengakui sedang cuba menyelesaikan masalah itu sendiri. 


Beberapa hari kemudian, Nazrah menghubungi individu yang sama untuk bertanya mengenai perkembangan kes yang hanya memberi jawapan mereka gagal mencari pelaku. 


Kegagalan pihak MRSM Kuantan menyelesaikan masalah itu menyebabkan baju anaknya sekali lagi diconteng dan perkara yang sama turut menimpa baju milik rakannya. 


Mangsa juga menemui dinding yang telah diconteng lalu memaklumkan kepada pelajar senior yang melaporkan hal itu kepada warden. Malangnya, mangsa telah dipaksa untuk mengakui bahawa kes baju diconteng, digunting dan dinding tandas diconteng adalah dilakukan olehnya. 


Tindakan warden MRSM Kuantan mengundang ketidakpuasan hati Nazrah yang menegaskan anaknya adalah mangsa kejadian dan tidak berpuas hati dengan tindakan MRSM Kuantan yang mengambil ringan terhadap aduan anaknya. 


"Anak saya telah dipanggil oleh lima warden dan mereka menekan anak saya dan dipaksa mengaku bahawa semua baju diconteng, digunting dan contengan di dinding tandas dilakukan oleh anak saya. Sedangkan anak saya adalah salah seorang mangsa dan telah melaporkan semua kejadian itu kepada senior dengan segera apabila kejadian itu berlaku kepadanya. 


"Sebaliknya pihak maktab mengambil ringan aduan anak saya dan tiada kenyatan bertulis diambil oleh pihak maktab apabila menerima aduan-aduan itu. Pihak maktab dan warden buntu tidak dapat mencari pelaku sehingga menekan anak saya sebagai pelaku," katanya. 


14 Julai 2022, MRSM Kuantan telah merujuk mangsa kepada kaunselor sekolah dan disahkan mengalami anxiety dan mempunyai stress level yang sangat tinggi serta menyarankan mangsa dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut. 


Keesokan harinya, mangsa pulang ke rumah dan memberitahu Nazrah dia telah ditekan untuk mengaku melakukan semua perbuatan itu. 


Mangsa kemudian dibawa berjumpa dengan pakar psikaitri kanak-kanak bagi memastikan kesihatan mentalnya. Keputusan mendapati mangsa sihat dan tiada mempunyai ciri-ciri anxiety, depression dan stress seperti yang didakwa pihak MRSM Kuantan. 


Nazrah dan suaminya kemudian bertemu dengan Pengetua MRSM Kuantan di mana dalam perjumpaan itu pengetua mengakui memang ada kesilapan dari pihaknya dalam menjalankan siasatan sehingga menyebabkan mangsa dipersalahkan. 




Laporan polis dan aduan kepada SISPAA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah dibuat memandangkan tiada jalan penyelesaian yang dapat dicapai dari pertemuan dengan pihak MRSM Kuantan. 


Namun Nazrah berkata, maklum balas yang diterim dari pihak MARA adalah mengecewakan dan menyifatkan keputusan siasatan MARA berat sebelah, lebih teruk lagi kenyataan pengetua MRSM Kuantan juga tidak konsisten di mana dia terdahulu mengakui ada kesilapan dari pihak mereka. 


Rentetan dari kes itu, Nazrah mendakwa anaknya menerima surat ugutan. Selain itu, rambut anaknya dan dua lagi rakan lain telah digunting pendek ketika mereka tidur di waktu malam. 






Pintu tandas yang diconteng

Baju anak saya yang diconteng

Rambut anak saya yang digunting ketika tidur

Nota-nota yang ditemui oleh pelajar Form 3 di dalam biliknya

Nota-nota yang ditemui oleh pelajar Form 3 di dalam biliknya dan baju anak saya yang digunting

Rambut anak saya yang digunting ketika dia sedang tidur

Nota-nota yang ditemui oleh pelajar Form 3 di dalam biliknya

Nota-nota yang ditemui oleh pelajar Form 3 di dalam biliknya

Baju anak saya dan rakan sebilik yang digunting ketika mereka sedang tidur

T-Shirt anak saya yang telah digunting

Dinding tandas yang telah diconteng

Selipar anak saya dan rakan sebiliknya ditemui disusun seperti ular


Nazrah kini masih menunggu perkembangan dan tindakan selanjutnya serta berharap agar pelakunya dapat ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang. Pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap MRSM Kuantan sekiranya tidak menyelesaikan masalah yang menimpa anak perempuannya itu. 


Sumber: Facebook Nazrah Mohamed



source https://www.thereporter.my/2022/08/rambut-anak-digunting-ketika-tidur.html
Previous
Next Post »