'Sekali dah naik harga, takkan turun' - Peniaga makanan tamak, enggan turun harga jualan walaupun harga ayam dah stabil

Foto hiasan | The Star


Beberapa bulan lalu, harga ayam di pasaran naik mendadak menyebabkan ramai peniaga makanan berasaskan ayam yang terpaksa menaikkan harga makanan dan memaklumkan kepada pelanggan bahawa mereka terpaksa berbuat demikian ekoran kos bahan mentah naik. 


Para pelanggan dilihat akur dan memahami situasi itu tanpa membantah meneruskan pembelian seperti biasa kerana menyangka isu kenaikan harga itu hanya berlaku untuk tempoh yang singkat sahaja. 


Bagaimanapun, setelah kerajaan berjaya menstabilkan semula harga ayam di pasaran, kebanyakan peniaga mula bersikap tamak dengan tidak menurunkan harga makanan walaupun telah digesa untuk berbuat demikian. 


Ada peniaga yang memberikan alasan bahan mentah lain pula meningkat dan menjadikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebagai alasan untuk tidak menurunkan harga. 


Menurut laporan Kosmo, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang melakukan pemantauan secara rawak mendapati, harga makanan di restoran atau kedai makan di seluruh negara masih tinggi. 


Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, tidak ramai peniaga makanan mengambil inisiatif untuk menurunkan semula harga jualan walaupun isu kenaikan harga bahan mentah sudah semakin reda. 


"Harga ayam sudah turun antara RM6.40 dan RM7 sekilogram, tetapi harga sepinggan nasi ayam masih ada mencecah RM12," katanya. 


Sebelum ini, mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di Semenanjung dilaporkan mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos ini, memandangkan bekalannya semakin stabil hari demi hari. 


Namun kelmarin, kerajaan bersetuju penetapan harga siling ayam standard diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram, sekali gus menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran. 


Peniaga makanan sepatutnya menurunkan harga jualan daripada terus bersikap tamak tanpa mengambil kira bebanan pengguna. 


Sumber: Kosmo



source https://www.thereporter.my/2022/08/sekali-dah-naik-harga-takkan-turun.html
Previous
Next Post »