'Jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi' - NGO



Dianggarkan 300 orang penyokong Datuk Seri Najib berkumpul di hadapan Istana Negara semalam bagi menyerahkan memorandum pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, semalam, selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International.


Penyokong Najib mendakwa bekas pemimpin itu tidak mendapat layanan yang adil kerana mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.


Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan daripada pihak Najib sama ada beliau akan memohon pengampunan diraja.


Wakil kumpulan berkenaan, Syed Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak pengampunan diraja.


"Jangan sentuh sorang pun ahli kami. Kami akan bersurai secara baik, tapi kami mohon jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi.



"Saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri campur tangan dan pemimpin negara, pemimpin UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan sekarang. Kerajaan campuran sekarang memang betul-betul tak guna," katanya.


Beliau juga mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO dalam isu ini dan menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai 'daripada singa akan jadi tikus'.


"Ada tak satu pemimpin Umno yang hadir? Tak ada satu pun pemimpin Umno hadir hari ini. Daripada 191 ketua bahagian, jika setiap ketua bawa 100 orang hari ini, ada 19,000 rakyat di sini.


"Satu bahagian pun tak gerak. Apa nak jadi dengan Umno? Jika, hari ini presiden Umno tak berkeras, PM tak buat sesuatu, saya selaku ahli Umno isytihar untuk keluar Umno sekarang.


"Saya tak perlu ada dalam parti. Baik kerjasama dengan DAP. Mereka boleh bersama pemimpin sehingga dia (pemimpin) meringkuk dalam penjara.


"Tapi, Umno hanya power (kuat) dalam media sosial, keluar (ke) jalan takut,"  kata Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia itu yang mengaku sebagai anggota Umno.


Namun, tindakan penyokong Najib dibantah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang melancarkan petisyen pada Rabu supaya Najib menjalani hukuman kerana beliau sudah menjalani proses sewajarnya, iaitu perbicaraan yang adil.


Lebih 30,000 orang sudah menandatangani petisyen itu setakat ini, dengan menyatakan Najib 'memalukan negara' dan harus menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang berpendapat mereka boleh menyalahgunakan kuasa.


Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, TikTok Nazzmughni1



source https://www.thereporter.my/2022/08/jika-minggu-ini-tidak-berlaku-apa-apa.html
Previous
Next Post »