(Video) 'Jangan jadi pemalas harap bantuan bendera putih je' - Vida enggan minta maaf, tegas dia hanya beri pandangan dari sudut orang berniaga


Dua hari yang lalu, Dato' Seri Vida memuat naik video di akaun TikTok berkongsi mengenai membuat teguran terhadap salah seorang followersnya yang meminta sumbangan makanan ekoran pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19 di mana ramai yang tidak dapat bekerja disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 


Dalam video tersebut, Vida menjadikan seorang peniaga di tepi jalan sebagai contoh yang setiap hari meraih pendapatan lebih kurang RM200-RM250 sejak mula berniaga setahun lalu. 


"Janganlah guna alasan PKP, pendapatan terjejas nak beli pampers anak. Tak boleh, berusaha. Tengok adik ini (peniaga) berusaha, RM200-RM250 setiap hari, kau mampu? Janji ada keinginan, janji ada usaha...


"Usaha, jangan nak jadi pemalas mengharap bantuan bendera putih je. Hmphh!" katanya sambil menggerakkan tangan kanannya seperti menghalau sesuatu. 


Ayat terakhir Vida itu membuatkan netizen tidak berpuas hati dan menganggap usahawan kosmetik menyimpan persepsi negatif terhadap golongan terjejas dan tidak memahami kesukaran yang sedang dialami golongan yang tidak bernasib baik ini. 


"Saya tak setuju dengan Dato. Keinginan itu ada tetapi modal tak ada. Bukan semua orang mampu. Orang kaya tak nak bantu dah bendera putih ini dari rakyat kepada rakyat," kata A'Ezel. 


"Dah-dahlah tu, jangan letakkan diri orang lain itu malas. Cuma rezeki tak ada je. Jangan ingat diri tu sentiasa di atas boh, semua orang usaha kalau rezeki tak ade," kata Arazzaraz. 


"Dia macam nilah Vida, lain orang lain cara. Jangan kutuk orang yang angkat bendera putih tu. Kita tak tahu susah diorang tu dah tahap mana," kata Adzrul Sadian. 


@datoserividaofficial

Reply to @azierarizqin TIPS2. ATAS DIRI SENDIRI..NAK MAJU KENA ADA USAHA..##fyp ##viral ##pkp ##malaysia ##datoserivida

♬ original sound - QU PUTEH BARULAH PUT


Ramai netizen menuntut Vida membuat permohonan maaf disebabkan kenyataannya yang tidak sensitif itu. Namun, usahawan kosmetik itu enggan berbuat demikian dan menegaskan tiada keperluan untuk dia meminta maaf. 


"Saya nak minta maaf untuk apa? Netizen sebenarnya banyak buat tafsiran sendiri. Banyak komen-komen yang menghentam saya. Ada yang kata saya kaya tapi riak tak nak tolong orang dan macam-macam lagi. Maksud saya, kita boleh beri bantuan kepada mereka ini. Namun, dalam masa sama mereka kenalah buat sesuatu daripada mengharap bantuan semata-mata. 


"Pada saya mereka kena buat kerja seperti mula berniaga walaupun tanpa modal. Jangan hanya mengharapkan bantuan. Ikutkan ada juga orang yang susah tapi dia tak angkat bendera putih. Pandangan saya ialah dari sudut orang berniaga di mana mereka yang diberhentikan kerja pasti ada duit. Mengapa tak ambil sedikit untuk buat modal berniaga?


"Perniagaan boleh dibuat dari rumah atau membuka gerai di depan rumah. Ada juga jenis perniagaan di mana orang boleh buat 'dropship' tanpa modal. Tapi, nak cakap apa pun mereka dah tak peduli dan nak juga kecam. 


"Fikirkan kalau sekiranya bantuan berupa sumbangan makanan, jadi sewa rumah, bil elektrik dan air siapa nak bayar? Sampai bila nak terus begini? Saya maksudkan mereka boleh berniaga sampai habis PKP dan selepas itu kembali bekerja seperti biasa," katanya. 


Menurut Vida, dia sebenarnya sudah banyak memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan sejak tahun lalu dan mempunyai pengalaman sendiri semasa memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. 


"Alhamdulillah, makan dah ada tapi mereka risau pasal sewa rumah pula. Takkan kami nak kena bayarkan pula? Kalau sebulan bolehlah tolong, tapi selepas itu macam mana pula? Saya dah pernah berdepan perkara itu dan itulah sebabnya saya keluarkan kenyataan yang dianggap melampau," katanya. 


Sumber: TikTok Vida, Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/07/video-jangan-jadi-pemalas-harap-bantuan.html
Previous
Next Post »