'Itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh' - MB Kedah tidak setuju dengan kempen golongan terjejas akibat Covid-19 naikkan bendera putih


Selepas Nik Abduh dan Rosli Abdul Jabar menyatakan pandangan tidak bersetuju dengan kempen menaikkan bendera putih bagi golongan yang terjejas akibat Pandemik Covid-19, tampil dua lagi pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengeluarkan kenyataan yang sama. 


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat sepatutnya meminta bantuan melalui 'saluran rasmi', bukannya menaikkan bendera putih yang bermaksud menyerah kalah dalam istillah peperangan. Selain itu, Muhammad Sanusi juga menyifatkan kempen itu sebagai propaganda politik untuk menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menangani pandemik Covid-19. 


"Saya sudah kata banyak kali, ia adalah propaganda politik yang mencerminkan persepsi kerajaan gagal, sebenarnya kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik. 


"Saya nampak ada ahli parlimen pembangkang yang pergi tolong rumah orang naikkan bendera putih, itu bukan kerja wakil rakyat, itu kerja orang gila, jangan buat kerja bodoh.


"Angkat bendera putih sepatutnya hanya diguna dalam dua keadaan iaitu mengaku kalah dalam perang atau ketika perlawanan tinju. Sekarang kita belum kalah lagi, teruskan berjuang. Jadi gunakan saluran yang betul dalam mendapatkan bantuan.


"Kita telah edarkan nombor telefon Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap daerah dan nombor telefon pusat khidmat wakil rakyat untuk orang ramai hubungi. 


"Sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej, individu yang perlu bantuan boleh menghubungi PKOB untuk bantuan makanan tanpa mengibarkan bendara putih," katanya. 


Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta penduduk di kawasannya tidak perlu menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan. Sebaliknya meminta mereka menghubungi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). 


"Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya. Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda. 


"Tugas anda ialah meminta bantuan apabila diperlukan dan tugas kami ialah membantu anda," katanya. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini



source https://www.thereporter.my/2021/07/itu-kerja-orang-gila-jangan-buat-kerja.html
Previous
Next Post »