'Dik, kau boleh nampak kan? Cuba suluh tepi busut tu, itu ke benda tu?' - Dua beradik didatangi pocong ketika memancing


Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


Kejadian berlaku pada tahun 2021. Ketika itu aku berusia dalam lingkungan belasan tahun dan masih bersekolah. Kisah ini bermula di mana sewaktu aku menemani abang aku pergi mengangkat pancing yang ditinggalkan pada waktu petang. Di tempat aku, kitorang panggil menajo. Di tempat lain, tak tahulah. 


Kitorang pergi lebih kurang dalam jam 10 malam kalau tak silap. Abang tak nak ambil pancing pada keesokan hari sebab dia kata tak ada orang nak angkat, takut biawak atau ular yang sangkut. Lagipun, dia kerja. Lalu dia ajak aku temankan dia.


Sampai di lokasi, kitorang pun suluh ke tempat menajo ditinggalkan. Aku tanya dia masa tu, "Bang Im, berapa batang tajo dipasang?". Dia kata, "Alaa tak banyak pun, 23 batang je". Dalam hati aku, "eh eh orang tua ni, bukan sikit 23 batang". Selepas tu aku tanya lagi, "nanti tajo tu nak kena bawa balik semua ke?". Dia jawab, "Otak kau, potong tali je, batang tinggallah". Aku pun ketawa. 


Kitorang mula periksa tajo tu satu demi satu. Majoriti tajo kena dan yang tak kena pun lebih kurang 4-5 batang macam tu. Kitorang suka la sebab banyak ikan yang lekat kan. Majoriti ikan keli kampung. Fuh! Siapa yang tak suka keli kampung, buat sambal lada api kan? Memang menyengat la. 


Malam itu kitorang dapat ikan keli, baung, lampam, haruan, puyu/betok. Selepas selesai kutip ikan, kitorang terdengar bunyi benda terjatuh. Berdebuk bunyinya, kuat juga jatuhnya. Aku dengan abang aku bersangka baik je masa tu. Mungkin buah sawit yang jatuh dari pohonnya. Aku pun iyakan saja. 


Masa nak balik ke motosikal, aku terdengar bunyi sayup-sayup macam bunyi orang menangis. Tetapi suara dia tak macam perempuan. Bunyinya sedikit kasar. 


"Weh! Kau dengar tak?!" aku tanya abang. 


Abang aku pula jenis penakut sikit dan dia kata, "Kau tu mulut elok-elok sikit la. Aduh kau ni!". 


Aku suluh muka abang, mukanya dah pucat. Selepas tu, terdengar bunyi macam gigi berkatip. Time tu aku tak sempat tanya abang aku lagi dia dah cakap, "Oi dik! Kau cepat sikit! Kau tak dengar bunyi apa tu". 


"Buat tak tahu je lah. Kita tak kacau dia," aku kata, tengok jam dah dekat pukul 12 malam.


"Cepat la... tak lepas balik kita ni kang!" katanya. 


Sampai di motosikal, aku terdengar lagi benda yang sama, suara sayup-sayup menangis. Aku cakap dengan abang, "Wey bang Im, orang tua-tua cakap kalau bunyi jauh dia dekat. Kalau bunyi dekat, dia jauh." 


"Wey! Kau boleh berhenti tak cakap macam tu?!" abang aku dah mula geram dan suruh aku yang bawa motosikal dan dia duduk di belakang. 


Dah start enjin motosikal, aku masih terdengar bunyi yang sama. Masa tu abang dah pegang badan aku dan kata, "Dik, kau boleh nampak kan?". Aku cakap la, "Ha'ah". Abang aku dah macam ketakutan sangat masa tu. "Cuba kau suluh kat tepi busut tu, dekat bahagian kanan kita. Benda tu ke?" dia tanya. "Jap, adik suluh", perlahan-lahan aku hala lampu suluh ke arah busut tu. 


Ha! Nah kau! Betul-betul benda berbungkus tu berdiri di atas busut dengan kakinya tak menjejak tanah. Satu lagi macam melayang. Subhanallah! Rupanya dia seingat aku masa tu, bungkusan dia memang kotor gila macam ada percikan darah sikit sebab warnah merah kan. Wallahualam. 


Torchlight aku time tu betul-betul suluh tepat ke muka benda tu. Seingat aku muka dia memang dalam keadaan macam muka yang tak ada kulit. Dengan biji matanya yang terjuntai, itulah rupa dia. Mungkin korang jumpa dalam bentuk yang lain. Ada orang kata yang diorang jumpa langsung tak ada muka, gelap dan tutup habis. Tapi time aku jumpa, memang wajahnya tak ada kulit, biji mata terjuntai. 


Cepat-cepat aku beristighfar dan suluh ke tempat lain, start motor dan terus pecut balik ke rumah. Dalam perjalanan balik tu, benda tu berdiri di tepi jalan. Abang aku pun nampak benda tu. Time tu sebelum nak sampai ke benda tu, benda itu macam bergoyang-goyang dan lompat-lompat. Dia melompat bukannya melompat pendek macam dalam cerita hantu kebanyakan. Dia lompat jauh dalam jarak dua tiang lampu elektrik tepi jalan tu. 


Selepas dia lompat sekali lagi, terus hilang. Abang aku kat belakang  dah baca macam-macam doa, lancar pulak tu. Aku time tu tak nak gabra sangat tetapi jadi gabra sebab abang aku dok histeria ketakutan di belakang. Itu yang buat aku cuak. Masa tu dia baca saja apa yang dia ingat termasuk doa makan sekali. Bunyi macam aku main-main tetapi kenyataannya memang dia baca doa makan. Aku jadi gabra kat situ dan turut sama baca ayat suci yang aku ingat.


Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah. Kitorang duduk di luar dulu dalam tempoh masa yang agak lama. Selepas kitorang cerita kejadian yang berlaku itu kepada mak, mak aku kata, "Dah tahu ada bunyi pelik-pelik tu balik sajalah. Tunggu lagi buat apa?". Aku dengan abang diam je. Alhamdulillah kitorang tak demam. Keesokan harinya kitorang cerita dekat mak kisah malam tadi dari A sampai Z. Mak aku kata, "Haa biasalah tu menyakat". Kitorang diam je. 


Sampai sini saja aku berkongsi cerita. Nak percaya tak tidak, adalah hak masing-masing. Aku tak salahkan korang pun sebab aku hanya bercerita berdasarkan pengalaman aku sendiri. Sekian terima kasih. 


Sumber: FB Muhammad Nafis



source https://www.thereporter.my/2021/07/dik-kau-boleh-nampak-kan-cuba-suluh.html
Previous
Next Post »