Akibat cemburu, suami tikam isteri sampai mati sebelum gantung diri


Seorang wanita ditikam sehingga mati oleh suaminya sendiri yang kemudian menggantung dirinya, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Kimsar, Perai, Pulau Pinang. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, insiden itu disedari oleh anak lelaki pasangan itu yang berusia 28 tahun apabila menemui mayat ibu bapanya, lalu menghubungi polis pada jam 3 petang, Sabtu, 10 Julai 2021. 


Difahamkan, anak pasangan itu yang tinggal berdekatan pulang ke rumah ibu bapanya dan terkejut apabila mendapati mereka sudah tidak bernyawa lalu menghubungi polis. Tiba di lokasi, polis menemui mayat wanita dalam keadaan berlumuran darah di katil, manakala mayat suaminya tergantung di dapur rumah. 


Pemeriksaan di dalam bilik tidur menemui sebilah pisau yang digunakan oleh lelaki berusia 65 tahun untuk menikam isterinya yang berusia 54 tahun. Turut ditemui tiga kesan tikaman di leher, dada dan perut mayat wanita. 


Siasatan awal mendapati, motif kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham akibat cemburu antara pasangan berkenaan. Mayat kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 



Sumber: Harian Metro



source https://www.thereporter.my/2021/07/akibat-cemburu-suami-tikam-isteri.html
Previous
Next Post »